Khamis, 2 Februari 2023 | 2:54pm

SPRM boleh semak mana-mana akaun parti politik - PM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai kuasa yang tidak terbatas untuk menyemak mana-mana akaun parti politik di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sekiranya agensi penguat kuasa itu menerima laporan dan mahu membuka siasatan, beliau sendiri tidak mempunyai sebarang masalah.

"Tiada masalah dan arahan kita tidak terbatas kepada mana-mana parti... mereka (SPRM) boleh semak mana-mana parti.

"BERSATU tidak mendedahkan akaun tetapi ia didedahkan oleh pasukan penyiasat. Kalau SPRM dapat laporan dan menyiasat, saya tiada masalah.

"Akaun-akaun itu diaudit dan dihantar kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengikut jadual yang ditetapkan, (secara) tahunan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, setiap tindakan penguatkuasaan undang-undang hari ini perlu dilakukan lebih proaktif, lebih efisien dan dilakukan dengan lebih cepat.

"Kepercayaan pentadbiran hari ini adalah mengenai tata kelola kerajaan yang baik dan memusnahkan rasuah dan salah guna kuasa," katanya.

Semalam Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Dr Muhammad Faiz Na'aman mengesahkan SPRM membekukan beberapa akaun milik parti itu baru-baru ini.

"Saya boleh sahkan perkara itu, namun maklumat terperinci tidak dapat saya kongsi buat masa sekarang. Ahli MPT dimaklumkan perkara ini beberapa hari lalu," katanya kepada BH.

Berita Harian X