KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan ulasan Transparency International Malaysia (TI-M) berhubung punca kemerosotan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia, tidak mengambil kira kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam yang berjaya disiasat dan diambil tindakan.
Pengarah Dasar, Perancangan dan Penyelidikan, Datuk Mohd Hafaz Nazar, berkata TI-M menyentuh tentang kekurangan ketelusan maklumat dalam hal kepentingan awam seperti projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) berjumlah RM9 bilion serta persepsi, seolah-olah tiada tindakan undang-undang terhadap penjawat awam yang menyalahgunakan kuasa.
"SPRM menerima pandangan-pandangan itu dengan minda terbuka yang menyentuh aspek pentadbiran awam, pemerkasaan undang-undang tatakelola serta pemerkasaan dan kebebasan SPRM (kewangan, keanggotaan dan mandat).
"SPRM ingin menekankan bahawa sepanjang tahun 2022, tindakan diambil terhadap kes-kes besar yang berkepentingan awam seperti kes LCS, disebabkan siasatan masih dijalankan yang membabitkan negara asing dan maklumat siasatan tidak boleh didedahkan kerana ia akan menjejaskan siasatan.
"Kekurangan ketelusan maklumat ini mungkin menimbulkan persepsi negatif terhadap siasatan SPRM dan komitmen kerajaan seolah-olah tiada tindakan dijalankan. Ulasan TI-M juga tidak mengambil kira kes-kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam yang berjaya disiasat dan diambil tindakan undang-undang, termasuk yang membabitkan penjawat awam.
"Antaranya ialah kejayaan kes SRC International Sdn Bhd yang membawa kepada hukuman penjara bekas Perdana Menteri dan kes pembekalan elektrik solar kepada sekolah pedalaman Sarawak yang berjaya mensabitkan Datin Seri Rosmah Mansor pada tahun 2022," katanya, hari ini.
Selain itu, Mohd Hafaz berkata, pada 2022 juga, Op Power dijalankan dan melumpuhkan sindiket mencuri elektrik untuk pelombongan bitcoin telah berjaya dijalankan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Selain itu, katanya, Op MITRA 2.0 yang membabitkan penyelewengan berjuta-juta dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra)juga dilaksana manakala Op Hire berkaitan penyelewengan dana PENJANA Kerjaya di bawah kelolaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) juga berjaya memberkas suspek-suspek terbabit.
Mohd Hafaz juga mencadangkan agar setiap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan memainkan peranan lebih bertanggungjawab untuk Malaysia mencapai kedudukan dan skor CPI yang lebih baik, memandangkan ia sudah diterima pakai dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan ia ditetapkan sasaran penambahbaikan kedudukan Malaysia dalam CPI 2025.
Katanya, sekiranya sasaran itu dijadikan petunjuk prestasi utama (KPI) di semua peringkat kementerian, jabatan dan agensi secara `tanggungjawab bersama', kedudukan CPI Malaysia akan menjadi lebih baik.
"Untuk tujuan ini, kerajaan turut berusaha membangunkan indeks tata kelola nasional seperti Malaysian Governans Indeks (MGI) yang bersifat 'bukti dan berasaskan hasil' bagi mengukur tata kelola negara.
"SPRM juga sedang mengusahakan suatu kajian komprehensif nasional antirasuah berdasarkan kajian Pejabat Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) yang menekankan pengukuran pengalaman rasuah berbanding persepsi dengan memanfaatkan data primer dan data pentadbiran.
"Kajian berdasarkan pengalaman dan bukti mampu melengkapi (complement) kajian indeks CPI yang berasaskan persepsi agar memberikan gambaran yang lebih jelas, jitu dan menyeluruh tentang tahap dan faktor rasuah di Malaysia," katanya.
Beliau turut mencadangkan agar Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 dinilai semula supaya dapat memberi penekanan kepada inisiatif berimpak tinggi yang boleh membawa perubahan ketara dan pantas kepada tahap tata kelola, ketelusan, integriti dan kebertanggungjawaban dalam memerangi rasuah serta salah guna kuasa.
"Secara tidak langsung, ini menyokong komitmen kerajaan dalam mendepani isu-isu rakyat khususnya usaha memulih, menstabil dan memperkasakan ekonomi negara," katanya.