Khamis, 2 Februari 2023 | 1:53pm
Emilia (tengah) hadir bagi mengikuti kes sambung bicara kes dakwaan pukul oleh bekas suaminya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - NSTP/AIZUDDIN SAAD
Emilia (tengah) hadir bagi mengikuti kes sambung bicara kes dakwaan pukul oleh bekas suaminya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - NSTP/AIZUDDIN SAAD

Mahkamah arah Emilia beri keterangan kes dakwaan pukul petang ini

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret mengarahkan Emilia Hanafi memberikan keterangan petang ini berhubung dakwaan dipukul bekas suaminya yang juga ahli perniagaan, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin.

Majistret Nadia Othman membuat keputusan itu selepas mendapati Emilia wajar dipanggil dahulu bagi memberi gambaran keseluruhan mengenai kes terbabit.

"Kes sejak 2016 dan (pada) 2021 bermula perbicaraan. Mahkamah tidak pernah melapangkan kes itu, (sebaliknya) pihak (pendakwaan dan pembelaan) yang memohon perkara berkenaan. Mahkamah bersedia mendengar kes ini tanpa gangguan.

"Tiada alasan munasabah dikemukakan (tidak panggil Emilia beri keterangan petang ini). Mahkamah tangguh bicara ke 2.30 petang ini untuk kemukakan saksi itu (Emilia)," katanya yang turut memberi amaran keras supaya mana-mana pihak tidak memuat naik kenyataan di media sosial yang boleh ganggu perjalanan kes.

SM Faisal, 43, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia, 43, di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas di Brickfields, di sini, antara jam 12.30 tengah hari hingga 4.30 petang pada 22 November 2015.

Terdahulu, peguam bela SM Faisal, Datuk Akberdin Abdul Kader, berkata Emilia selaku pengadu perlu dipanggil dahulu atas faktor kepentingan keadilan serta isu yang akan memprejudiskan anak guam kerana banyak dokumen pembelaan berkait rapat dengan pengadu.

Permohonan supaya Emilia memberi keterangan dahulu didakwa wajar kerana percakapan melalui saksi lain hanya sekadar keterangan sokongan saja untuk mengesahkan serta menyokong kejadian terbabit.

"Di samping itu, pembelaan ingin menghujahkan bahawa sudah menjadi amalan biasa bahawa dalam kes pukul yang terkandung dalam Seksyen 323 Kanun Keseksaan, mangsa akan dipanggil dahulu sebagai saksi utama pendakwaan.

"Hal ini kerana mangsa sendiri adalah individu yang membuat laporan polis. Tambahan pula, perkara ini tidak akan menjejaskan kes pendakwaan kerana pengadu juga akan dipanggil untuk memberi keterangan," katanya.

Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aishah Ahmad Zakiuddin, berkata tiada peruntukan undang-undang yang jelas mengatakan Emilia perlu dipanggil dahulu untuk memberi keterangan.

Katanya, mahkamah juga wajar merujuk Seksyen 173 Kanun Tatacara Jenayah yang memberi hak kepada pendakwaan untuk memanggil mana-mana individu serta jumlahnya untuk dijadikan saksi bagi memberi keterangan.

"Pada masa ini, saksi pendakwaan keenam (adik Emilia, Elisa Nani Hanafi) belum disoal balas. Sepatutnya selesaikan periksa balas saksi itu, bukan 'lompat' kepada saksi lain.

"Perkara ini dibuat mengikut undang-undang dan ini amalan biasa di mahkamah," katanya.

Berita Harian X