Khamis, 2 Februari 2023 | 1:31pm

BERSATU mohon SPRM batalkan beku akaun, tiada wang bayar gaji, sewa

KUALA LUMPUR: BERSATU menghantar surat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membatalkan pembekuan akuan parti itu.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata surat itu juga meminta pembatalan pembekuan dibuat sebaik siasatan SPRM ke atas akaun parti diselesaikan.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - NSTP/ASWADI ALIAS
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - NSTP/ASWADI ALIAS

"Pembatalan pembekuan akaun parti penting walaupun dinyatakan akaun dibekukan untuk tempoh tiga bulan.

"Sebagai parti politik yang penting, jika tiada wang bagaimana kami dapat meneruskan kerja politik terutama membayar sewa pejabat, gaji kakitangan dan perkara berkaitan pengurusan parti .

"Ini juga menjejaskan kelancaran Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi kerana BERSATU adalah sebuah parti yang penting dalam gabungan itu," katanya selepas Majlis Penutup Pemukiman Ahli Parlimen PN, hari ini.

Hadir sama, Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Semalam SPRM mengesahkan pihaknya membekukan beberapa akaun milik BERSATU.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata akaun terbabit dibekukan untuk membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram.

"Siasatan sedang dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram," katanya dalam kenyataan.

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN menegaskan BERSATU tidak menerima sebarang wang daripada pakej rangsangan ekonomi yang bernilai RM92.5 bilion seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Beliau juga menjelaskan pada masa ini SPRM sudah pun memperoleh penyata kewangan dan dokumen berkaitan dengan akaun BERSATU.

"Saya percaya siasatan SPRM dijalankan secara profesional dan akan membersihkan nama BERSATU.

"Saya ingin menegaskan dasar BERSATU menetapkan setiap sumbangan dimasukkan dalam akaun parti dan tidak dimasukkan dalam akaun peribadi saya atau mana-mana pegawai parti atau mana-mana organisasi yang mempunyai kepentingan.

"Ini termasuk jika saya ada kepentingan, ..ada yayasan yang saya taja dan sebagainya dan saya tahu SPRM sudah menyiasat kepada mana-mana organisasi seperti itu termasuk Bahagian BERSATU Pagoh," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berharap pembekuan itu bukan bermotifkan politik bagi melumpuhkan jentera BERSATU dan PN.

"Jangan ini jadi motif sebenar kerajaan melumpuhkan jentera BERSATU dan PN di PRN akan datang.

"Kalau langkah begini diambil, ia dapat menghalang usaha kita untuk terbabit dalam aktiviti PRN," katanya.

Beliau menjelaskan pembatalan pembekuan itu juga penting bagi membolehkan penyata kewangan parti itu dapat dibentangkan pada Perhimpunan Agung BERSATU pada Mac nanti.

"Memandangkan dokumen berkaitan sudah diambil maka ini merumitkan juru audit kita nak buat pengauditan untuk laporan kewangan parti bagi 2022," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa pembekuan akaun BERSATU bertujuan menimbulkan keraguan terhadap integriti PN.

Beliau berkata, PAS bersedia memberikan kerjasama penuh dalam siasatan itu.

Berita Harian X