KUALA LUMPUR: Orang ramai sukar untuk menyimpan wang secara konsisten berikutan gaji tidak mencukupi akibat kos sara hidup yang tinggi dan terus meningkat.
Pakar sikap kepenggunaan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Laily Paim, berkata keadaan kewangan pengguna menjadi bertambah buruk apabila tahap literasi kewangan mereka rendah.
"Dalam keadaan gaji yang rendah, literasi kewangan penting bagi membantu pengguna berbelanja secara tepat, sekali gus dapat menggunakan sepenuhnya pendapatan yang ada untuk memenuhi keperluan hidup," katanya kepada BH.
Beliau mengulas laporan BH memetik dapatan Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama 2022 oleh Jawatankuasa Kerja Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN), yang diterbitkan Oktober lalu.
Kaji selidik membabitkan 3,000 responden itu antara lain mendapati 69 peratus daripadanya lebih suka berbelanja berbanding menyimpan, menyebabkan mereka tiada simpanan untuk digunakan sewaktu kecemasan.
Selain itu, 47 peratus responden mengakui sukar menyediakan wang kecemasan RM1,000 dan hanya 20 peratus mampu menampung perbelanjaan hidup bagi tempoh tiga bulan atau lebih, jika hilang pendapatan.
Selain memperluaskan aktiviti pendidikan pengguna dan literasi kewangan, Prof Laily berpandangan, kerajaan perlu melaksanakan semakan gaji semasa berbanding kos sara hidup.
"Perlu ada semakan supaya paras gaji lebih berpatutan dan sesuai dengan peningkatan kos sara hidup kerana kos sara hidup yang tinggi memberi kesan langsung pada kecukupan pendapatan," katanya.
Bukan faktor pandemik
Sementara itu, pakar kewangan pengguna, Prof Dr Mohamad Fazli Sabri, berkata dapatan kaji selidik FEN adalah konsisten, sama ada sebelum, semasa dan selepas pandemik melanda negara ini.
Dekan Fakulti Ekologi Manusia UPM itu berkata, ia bermakna, isu rakyat kurang menyimpan bukan disebabkan faktor pandemik semata-mata, sebaliknya kos sara hidup jelas menjadi faktor utama menyukarkan pengguna untuk membuat tabungan.
Bagaimanapun, beliau mengakui, tindakan memaksa majikan menaikkan gaji sukar dilaksanakan, khususnya ketika ekonomi negara masih dalam fasa pemulihan, selain faktor luar kawalan seperti perang di Ukraine.
"Sehubungan itu, pengguna sendiri kena ubah cara hidup, tidak boleh lagi berbelanja terlalu mewah dan amal konsep kesederhanaan.
"Faktor gaji tinggi atau rendah tak bermakna kita langsung tidak boleh menyimpan. Andai gaji bulanan kita RM2,000, tak bermakna perlu simpan RM1,000 setiap bulan. Simpanan sekecil RM30 sebulan sudah memadai dan dalam setahun jumlah terkumpul sudah RM360," katanya.
Pada masa sama, Prof Mohamad Fazli menasihatkan pengguna berusaha mengurangkan perbelanjaan kurang perlu dan memberi keutamaan pada perkara penting seperti pendidikan anak-anak, keperluan kesihatan dan seumpamanya.
Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata jumlah pendapatan yang besar bukan jaminan bagi mana-mana individu memiliki kadar simpanan mencukupi, sekiranya tidak bijak dalam menguruskan kewangan.
Tahap literasi kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia ketika ini amat rendah dan ini menyebabkan ramai yang tidak memiliki tabungan untuk digunakan pada waktu kecemasan atau apabila sudah bersara, sekali gus meningkatkan kebergantungan rakyat kepada bantuan kerajaan.
"Hasil kajian Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) ini bukan sesuatu yang mengejutkan kerana literasi tahap kefahaman literasi kewangan adalah sangat rendah dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Ramai yang pintar berbelanja tetapi tidak pintar menyimpan justeru mengharapkan sumber kewangan bertambah bagi membayar perbelanjaan, hingga ada yang meminta bantuan ibu bapa, rakan, wakil rakyat kawasan dan bantuan kerajaan apabila terdesak.
"Sebanyak mana pun pendapatan seseorang, sama ada makan gaji atau berniaga, pasti tidak mencukupi jika tidak pandai menguruskan kewangan sendiri, kerana besar periuk, besarlah juga keraknya," katanya.
Mengulas lanjut, Aimi Zulhazmi mengakui peningkatan kos sara hidup menyumbang kepada ketidakcukupan pendapatan isi rumah ketika ini, namun masalah itu bukan eksklusif kepada kumpulan yang berpendapatan kecil di negara ini.
"Ia dihadapi oleh semua lapisan masyarakat, namun ia menjadi masalah berganda kepada mereka yang tidak pandai menguruskan kewangan pada tahap apa pun pendapatannya," katanya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan rakyat Malaysia perlu didedahkan dengan literasi kewangan seawal prasekolah bagi menjadikan mereka mempunyai kefahaman dan mementingkan pengurusan kewangan.
"Mereka juga harus faham bahawa mencari kerja lain yang memberi gaji lebih tinggi tanpa pengalaman yang mencukupi bukanlah strategi terbaik. Lebih penting adalah ukur baju dibadan sendiri dalam berbelanja," katanya.