KUALA LUMPUR: Jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan bagi setiap 100,000 penduduk meningkat 6.3 peratus pada Minggu Epidemiologi ke-4 2023.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pesakit kategori 1 dan 2 meningkat sebanyak 20 peratus, manakala tiada perubahan bagi pesakit kategori 3, 4, dan 5.
Beliau, bagaimanapun kes positif COVID-19 dipantau oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara menunjukkan penurunan, iaitu kedatangan pesakit ke CAC menurun sebanyak 49.4 peratus.
"Bilangan kes COVID-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah menurun sebanyak 37.1 peratus dan bilangan kes COVID-19 yang dirujuk CAC ke hospital, meningkat sebanyak 84.6 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu menurut data KKMNOW, sejumlah 325 kes baharu dilaporkan sehingga tengah malam tadi, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Malaysia meningkat kepada 5,036,918.
Daripada jumlah itu, dua adalah kes import dan kes aktif terbaharu setakat ini adalah 212 menjadikan keseluruhan 9,897 kes.
Pesakit COVID-19 yang dirawat di hospital setakat semalam adalah 124 orang dengan 14 daripadanya berada di unit rawatan rapi (ICU) dan sembilan lagi diberi bantuan pernafasan.
Menerusi data itu, sejumlah 113 pesakit pulih dan keluar hospital, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan untuk pemulihan kepada 4,990,079 setakat ini.
KKMNOW turut menyatakan, sejumlah 12,352 kes disaring positf COVID-19 semalam dan setakat ini sejumlah 9,507 menjalani kuarantin di rumah.
Tiada kematian baharu didaftarkan hari ini dan ia mengekalkan angka kematian pada 36,942.
Lima negeri yang tertinggi mencatat rekod bagi kes baharu adalah Selangor (87), Kuala Lumpur (82), Melaka (52), Sarawak (28) dan Pulau Pinang (14).
Johor merekodkan 12 kes, Negeri Sembilan (10), Perak (sembilan), Putrajaya (lapan), Johor (tujuh), Kedah (tujuh), Pahang (enam), Sabah (empat) dan Kelantan (tiga).