KUANTAN: Akaun bank milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Pahang masih aktif biarpun terdapat laporan tindakan pembekuan diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap akaun parti berkenaan.
Timbalan Pengerusi BERSATU Pahang, Mohd Yazid Mohd Yunus, berkata operasi parti di peringkat bahagian dan cawangan di seluruh negeri masih normal.
"Semuanya masih biasa, akaun (parti negeri) masih aktif. Saya tidak pasti di tempat lain tetapi akaun BERSATU Pahang masih aktif.
"Saya hanya boleh bercakap mengenai (BERSATU) Pahang dan saya tidak pasti mengenai situasi di tempat lain," katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, mengesahkan SPRM sudah membekukan akaun BERSATU.
Beliau dilaporkan berkata, akaun terbabit dibekukan untuk membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram (illegal proceeds).
Katanya, siasatan sedang dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.
Malah, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Dr Muhammad Faiz Na'aman dilaporkan berkata, beberapa akaun BERSATU dibekukan sejak beberapa hari lalu.