Rabu, 1 Februari 2023 | 12:57pm
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berkenan beramah mesra dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sebelum Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2023 sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2023, di Istana Negara, hari ini. - Foto BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berkenan beramah mesra dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sebelum Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2023 sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2023, di Istana Negara, hari ini. - Foto BERNAMA

Wilayah Persekutuan disasar jadi bandar pintar menjelang 2030

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasar untuk menjadikan Wilayah Persekutuan bandar pintar menjelang 2030, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, hasrat itu selari konsep Malaysia Madani yang turut memberi penekanan terhadap aspek kemampanan dengan konsep kota hijau dan kota pintar.

"Jabatan Wilayah Persekutuan turut merangka agenda pembangunan untuk masa depan secara mampan, berdaya huni dan pintar.

"Antara program lain yang telah disusun ialah penggunaan bas elektrik Kuala Lumpur, Wangsa Maju sebagai bandar perintis rendah karbon, penambahan pemasangan CCTV (kamera litar tertutup) di Kuala Lumpur dan Putrajaya, serta pemasangan Wi-Fi di projek perumahan rakyat (PPR) dan perumahan awam di Labuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sembah Ucapan Menjunjung Kasih sempena Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2023 di Istana Negara, hari ini.

Anwar berkata, berdasarkan pencapaian kemampanan bandar Wilayah Persekutuan yang diukur melalui MURNInets (Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar-Luar Bandar Malaysia) oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), ketiga-tiga Wilayah Persekutuan mencapai tahap mampan dengan cemerlang pada 2022.

Selain itu, beliau berkata, usaha tebatan banjir akan diteruskan dengan lebih gigih selaras pelan mitigasi yang sudah disediakan.

"Patik amat meyakini bahawa Jabatan Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan agensi akan terus bergerak sederap sebagai satu jentera pasukan perkhidmatan awam untuk mentadbir serta mengurus kemajuan dan pembangunan Wilayah Persekutuan.

"Patik bertekad memastikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan ditadbir serta diterajui dengan sebaik-baiknya agar manfaat kemakmuran dan keamanan dinikmati rakyat jelata yang rencam kaum serta budaya," katanya.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan kepada 164 penerima sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2023, pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2023.

Pada istiadat pengurniaan kali ini, tujuh individu dianugerahkan Darjah Kebesaran Pangkat Kedua, iaitu Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri, manakala 15 individu pula Darjah Kebesaran Pangkat Ketiga, iaitu Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk.

Selain itu, 16 individu dianugerahkan Johan Mahkota Wilayah (JMW); Kesatria Mahkota Wilayah (KMW) (19); Ahli Mahkota Wilayah (AMW) (15) dan Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW) (92). – BERNAMA

Berita Harian X