Selasa, 31 Januari 2023 | 6:03pm

Kerajaan siap siaga hujan lebat hingga Sabtu

BATU PAHAT: Kerajaan meningkatkan kesiapsiagaan bencana banjir di kawasan berisiko selepas Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan sehingga 4 Februari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Jawatankuasa Bencana Pusat, Negeri dan Daerah juga kini dalam koordinasi dan berada pada tahap berjaga-jaga sebagai persiapan berdepan apa jua kemungkinan.

"Kini keadaan hujan biarpun agak berkurangan namun kita dapat nasihat daripada MetMalaysia bahawa negara memasuki siri hujan yang berada pada situasi yang agak berbahaya.

"Amaran hujan berterusan siri ke 10 ini akan berlanjutan hingga 4 Februari. Oleh itu, kawasan berisiko banjir akan terus jadi fokus kita sama ada semasa dan selepas.

"Sejak luruhan hujan bertambah, kita kini berada di gelombang banjir yang ketiga. Seramai 136,000 mangsa terjejas yang membabitkan 39,000 keluarga di seluruh negara terbabit dalam pemantauan dan koordinasi Jawatankuasa Bencana Daerah, negeri dan pusat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Sri Medan, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri taklimat banjir dan meninjau PPS Sri Medan, PPS Seri Sejati dan PPS Dewan Orang Ramai Sri Medan.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, berkata kerajaan meluluskan peruntukan segera sebanyak RM7 juta bagi mengatasi isu banjir termenung yang sering melanda Batu Pahat.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, peruntukan itu membabitkan pembelian pam air berkuasa tinggi bernilai RM5 juta dan penggalian parit dan saliran sebanyak RM2 juta.

"Kedua-dua usaha tersebut akan dikendalikan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

"Di kawasan tertentu terdapat titi yangtidak mempunyai "culvert", menyebabkan air tidak dapat mengalir terutama di kawasan rendah sekali gus menyebabkan berlakunya banjir termenung.

"Kita lihat kaedah penyelesaian dengan menggunakan pam berkuasa tinggi yang akan ditentukan lokasi oleh JPS.

"Seterusnya, terdapat juga sampah dan lumpur yang menyebabkan saliran dan parit tersumbat. Bagi menyelesaikan masalah ini, kerja-kerja mengorek parit akan dilakukan serta-merta.

"Permohonan projek jangka panjang iaitu rancangan tebatan banjir (RTB) di daerah ini berjumlah RM50 juta namun ia akan diperincikan dahulu," katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melayani kanak-kanak ketika melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Sri medan, Batu Pahat, Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melayani kanak-kanak ketika melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Sri medan, Batu Pahat, Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Berita Harian X