KUALA LUMPUR: Kedudukan terbaru Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia yang terus merosot untuk tempoh tiga tahun hingga 2022 perlu dijadikan indikator untuk kerajaan bertindak sewajarnya, meskipun ia dilihat bukan pengukur sebenar situasi rasuah negara.
Biarpun kedudukan yang dikeluarkan Transparency International (TI) hanya sebuah persepsi, namun ia dilihat satu kewajaran untuk kerajaan bersungguh-sungguh dalam memperbaiki tadbir urus dalam sistem pentadbiran negara.
Timbalan Ketua Jawatankuasa Pemikir Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Noor Mohamad Shakil Hameed, berkata kemerosotan satu mata iaitu 47 bagi 2022 tidak begitu mengejutkan berdasarkan pelbagai isu dibangkitkan sebelum ini khususnya membabitkan faktor ketidakstabilan politik, ekonomi yang lemah dan ada pelbagai kekurangan dalam tadbir urus kerajaan.
Katanya, semua perkara itu boleh mempengaruhi persepsi responden yang terbabit.
"Dalam hal ini kita juga tidak boleh menafikan sepenuhnya punca digariskan TI-Malaysia (TI-M) kerana sedikit sebanyak dilihat menyumbang kepada penurunan skor ini. Ia membabitkan soal komitmen dan kesungguhan pihak kerajaan memperbaiki tadbir urus dalam sistem pentadbiran negara.
"Misalnya, kelewatan dalam pembentangan dan kelulusan Akta Pembiayaan Politik di Parlimen dilihat satu perkara yang cukup penting dan tidak sewajarnya dilengahkan.
"Ini kerana isu dana politik terus menghantui ahli politik negara termasuk yang terkini persoalan adakah sedekah itu rasuah," katanya kepada BH, di sini, hari ini.
Malaysia semalam dilaporkan berada di kedudukan ke-61 dalam CPI 2022 yang dikeluarkan TI daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga ke-62 pada 2021.
Presiden TI-M, Muhammad Mohan berkata, skor Malaysia jatuh satu mata iaitu daripada 48 mata pada 2021 kepada 47 mata pada 2022.
Beliau berkata, perkara penting ketika ini adalah masih banyak lagi yang perlu dilakukan dan ia bukan saja memperbaiki kedudukan negara dalam CPI, malah meningkatkan tahap integriti dan tata kelola yang baik pada semua peringkat.
"Dalam hal ini, kita yakin dengan adanya komitmen tinggi daripada Perdana Menteri, Datuk Sri Anwar Ibrahim sendiri yang mahu membanteras rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan melalui amalan tata kelola dan tadbir urus yang baik dilihat bakal menaikkan skor indeks ini pada edisi akan datang.
"Langkah yang sedang diambil seperti penamatan pelantikan ahli politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), tiada lagi kelulusan projek tanpa membabitkan saluran tender yang sepatutnya, serta peluang penjawat awam menegur sebarang keputusan dibuat menteri dilihat antara usaha penting yang mampu menaikkan keyakinan dan persepsi masyarakat antarabangsa.
"Justeru kita yakin CPI akan datang mampu melonjakkan semula kedudukan negara ke tangga yang lebih baik," katanya.
Beliau berkata, langkah agresif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam tangkapan demi tangkapan sejak kebelakangan ini menunjukkan negara sedang menuju ke arah pembanterasan rasuah dan salah guna kuasa secara total.
"Kita yakin tindakan SPRM ini akan memberi impak dan kesan positif secara langsung terhadap kedudukan CPI yang akan datang serta mewujudkan suasana positif yang boleh mengubah persepsi masyarakat terhadap rasuah," katanya.
Sementara itu, penganalisis rasuah, Datuk Rohaizad Yaakob berkata, kedudukan CPI merosot pada tahun lalu sebenarnya turut dijangka disebabkan ketidakstabilan politik negara yang menjadi antara fokus utama yang menarik perhatian pemerhati luar.
"Seperti kita ketahui, negara berdepan pelbagai krisis politik sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan pertukaran kerajaan demi kerajaan berlaku.
"Tahun lalu kita ada pilihan raya umum tetapi kemungkinan isu dibangkitkan dalam acara besar itu menarik perhatian masyarakat luar, seterusnya memberi persepsi kurang baik untuk Malaysia," katanya.
Bagaimanapun, beliau yang juga bekas pegawai kanan SPRM berkata, kemungkinan CPI pada tahun ini akan berubah kedudukan yang lebih baik disebabkan peralihan kerajaan dipimpin Anwar.
"Beliau menunjukkan pentadbiran perlu lebih telus dan ramai pihak juga melihat persepsi lebih baik datang daripada kerajaan kini," katanya