KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) disaran memperkenalkan program penajaan pengajian percuma kepada pelajar generasi pertama keluarga miskin yang berjaya memasuki universiti dengan menggunakan dana khas.
Presiden Persatuan Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam (MASTI), Raja Shah Erman Raja Arifin, menyifatkan pembiayaan menggunakan dana khas KPT itu adalah langkah realistik untuk dilakukan ketika ini.
"Inisiatif yang bakal diperkenalkan itu realistik dilakukan tetapi KPT mestilah membiayainya dengan menggunakan Dana Khas KPT seperti biasiswa.
"Langkah itu antara yang boleh dibuat untuk melaksanakan penajaan pengajian percuma dan jika ia difokuskan kepada pelajar yang benar-benar dikategorikan dalam graf kemiskinan .
"Ini kerana dengan menggunakan Dana Khas KPT, ia tidak akan membebankan universiti untuk menanggungnya.
"Yuran yang dikenakan universiti sebenarnya bukanlah keuntungan kepada institusi itu tetapi ia digunakan membayar kos kemudahan dan perkhidmatan kepada pelajar itu sendiri," katanya kepada BH.
Ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu KPT semalam, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, kementerian yang diterajuinya akan memperkenalkan program penajaan pengajian percuma kepada pelajar generasi pertama keluarga miskin yang berjaya memasuki universiti.
Beliau berkata, mekanisme dan dasar itu akan dibawa kepada Jemaah Menteri untuk disokong dan dijadikan dasar yang berkelangsungan.
"Ia sebagai langkah menamatkan kemiskinan melalui ilmu dan kemahiran," katanya.
Menjelaskan lanjut, Raja Shah Erman berkata, cadangan pendidikan percuma bukanlah agenda baharu yang pernah dihujahkan oleh kerajaan.
Ini kerana katanya, pelbagai inisiatif pernah diperkenalkan kerajaan secara strategik yang bermatlamat mengurangkan kos yuran pengajian di universiti.
"Harus difahami, yuran pengajian universiti awam (UA) bukan sahaja tertumpu kepada yuran akademik tetapi meliputi kebajikan dan perkhidmatan kepada pelajar seperti kolej kediaman, pengangkutan, aktiviti pelajar dan lain-lain," katanya.
Katanya, pelajar institusi pengajian tempatan awam (IPTA) hanya perlu membayar 10 peratus saja daripada yuran pengajian yang mana 90 peratus lagi ditanggung atau disubsidi kerajaan.
"Justeru yuran yang dikenakan di universiti bukanlah keuntungan kepada institusinya, tetapi untuk membayar kos kemudahan dan perkhidmatan kepada pelajar itu sendiri," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, komitmen Menteri Pengajian Tinggi itu untuk bersama-sama meningkatkan bidang keberhasilan pendidikan tinggi bersama IPTA adalah strategi yang mampan.
Ini kerana beberapa institusi pengajian tempatan swasta (IPTS) adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yangmempunyai kepentingan kepada kerajaan.
"Cadangan memberikan insentif yang sama dalam bentuk geran padanan untuk menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD), aktiviti penyelidikan serta akses lain kepada IPTS adalah inisiatif 'menang-menang'.
"Ia membolehkan dana kerajaan yang dihasilkan melalui GLC dan peruntukan KPT mampu dioptimumkan penggunaannya secara bersama.
"Ini kerana sistem pendidikan tinggi negara tidak sepatutnya mengehadkan keintelektual sarjana akademik mengikut kategori Institusi sebaliknya wajar disinergikan mengikut bidang kepakaran," katanya.
Katanya, ia sekali gus berupaya menyokong aspirasi nasional yang akhirnya memberi semula pelaburan kerajaan (ROI) kepada rakyat.