KUALA LUMPUR: Harga tiket penerbangan yang dibeli secara pukal atau berkumpulan adalah berasaskan harga rundingan di antara ejen pelancongan dan syarikat penerbangan.
Jurucakap Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), berkata rundingan antara kedua-dua pihak itu berdasarkan terma dan syarat yang sudah dipersetujui bersama.
"Ia adalah keputusan komersial yang dicapai oleh kedua-dua pihak. Antara faktor yang mempengaruhi harga tiket penerbangan yang dibeli secara pukal atau berkumpulan ialah saiz kumpulan, tarikh penerbangan dan waktu pelepasan.
"Pengawalseliaan dan pelesenan agensi atau ejen pelancongan tidak terletak di bawah bidang kuasa MAVCOM, tetapi di bawah bidang kuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu sebagai mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang mengatakan Kementerian Pengangkutan akan merujuk kepada MAVCOM bagi memperoleh gambaran sebenar isu berkenaan.
BH sebelum ini melaporkan beberapa syarikat umrah tempatan yang 'memborong' tiket penerbangan ke Tanah Suci dan didakwa turut menjualnya kepada agensi umrah di Indonesia pada harga sehingga RM6,000 bagi mengaut keuntungan besar.
Dalam pada itu, jurucakap MAVCOM memaklumkan, hak pengguna penerbangan termasuk penerimaan penjagaan daripada syarikat penerbangan sekiranya berlaku gangguan penerbangan masih terlindung seperti mana diperuntukkan di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC), MAVCOM.
"Pada masa ini, MAVCOM sedang bekerjasama dan memberikan sokongan yang diperlukan kepada MOTAC dalam menangani isu yang dibangkitkan," katanya.