Selasa, 31 Januari 2023 | 10:27am
Agensi perkhidmatan Malaysia berdepan komitmen jangka panjang bagi menjaga kebajikan PDI jika berlaku sebarang masalah. - Foto hiasan
Agensi perkhidmatan Malaysia berdepan komitmen jangka panjang bagi menjaga kebajikan PDI jika berlaku sebarang masalah. - Foto hiasan

Bayaran patut lebih adil bagi agensi dua negara

KUALA LUMPUR: Agensi pekerjaan yang membekalkan pekhidmat domestik Indonesia (PDI) mengaku kos mendapatkan pembantu rumah daripada agensi negara itu, adalah tinggi membabitkan sekitar RM9,000 hingga RM9,500.

Pengarah Agensi Pekerjaan Q Talent Global Resources Sdn Bhd, Zarina Ismail, berkata pihaknya juga menyedari akan kewujudan orang tengah atau 'calo' yang bertanggungjawab pergi ke kawasan pedalaman di Indonesia untuk mencari tenaga kerja, di mana perkhidmatan itu perlu dibayar agensi di negara berkenaan.

Justeru, beliau berkata, perlu ada kadar bayaran lebih adil bagi kedua-dua agensi dengan kawalan dilaksanakan pihak berkuasa di Indonesia bagi tujuan itu.

"Sebenarnya kalau nak diikutkan, harga itu (kos mendapatkan pembantu rumah) memang tinggi dan mahal... kalau dapat setengah-setengah okeylah (dibahagikan sama rata antara agensi Indonesia dengan Malaysia atau RM7,500 daripada jumlah RM15,000 ditetapkan).

"Perlu adil dan saksama... Indonesia kena melakukan kawalan berhubung perkara itu.

"Indonesia ada sistem sendiri yang menggunakan perkhidmatan 'calo'. Saya kurang pasti berapa bayaran dikenakan untuk perkhidmatan 'calo' itu, namun agensi tempatan yang mengambil tenaga kerja ini dikenakan caj antara RM9,000 hingga RM9,500 seorang (pembantu rumah)," katanya kepada BH, di sini.

1,090 agensi diberi lesen JTK

Malaysia dan Indonesia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada April tahun lalu bagi pengambilan dan perlindungan PDI, yang antara lain menetapkan pengambilan tenaga kerja itu pada kadar RM15,000. Hingga kini, terdapat kira-kira 1,090 agensi diberikan lesen oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di negara ini.

Semalam, BH melaporkan khidmat orang tengah atau 'calo' yang digunakan di Indonesia bagi mencari mereka yang berminat menjadi pembantu rumah, didakwa menyebabkan kos mendapatkan amah dari negara itu untuk berkhidmat di Malaysia melambung tinggi hingga mencecah RM30,000.

Difahamkan, 'calo' berkenaan perlu dibayar antara RM4,000 hingga RM6,000 (12 juta hingga 20 juta rupiah) seorang, belum dicampur pelbagai kos lain termasuk dokumentasi, penginapan, latihan, tiket penerbangan dan makanan sebelum amah berkenaan dihantar ke negara ini.

Dalam pada itu, Zarina memaklumkan setakat ini, pihaknya tiada masalah untuk mematuhi ketetapan terbabit, namun memohon supaya harga bagi setiap PDI yang 'dibekalkan' kepada mereka diselaraskan pada kadar RM7,500.

Tambahan pula, beliau berkata, agensi perkhidmatan di negara ini berdepan komitmen jangka panjang untuk menjaga kebajikan PDI jika berlaku sebarang masalah sepanjang tempoh mereka berkhidmat di Malaysia.

Zarina yang sudah lebih 20 tahun menguruskan agensi pekerjaan berkata, kadar untuk kos perkhidmatan serta kebajikan ialah sekitar RM2,000 yang dikenakan ke atas majikan, namun tanggungjawab 'menjaga' PDI adalah lebih berat kepada agensi tempatan.

"Jika keuntungan rendah tiada masalah, namun yang menjadi isu apabila kita terpaksa keluarkan duit sendiri jika berlaku sebarang masalah membabitkan pembantu rumah dan majikan, contohnya pembantu rumah 'buat perangai'.

"Kalau mereka lari atau didera dan aduan dibuat kepada kedutaan, mereka akan panggil kita (agensi tempatan) sebab kebajikan bawah tanggungjawab kita.

"Kita akur dengan ketetapan kadar itu (RM15,000), namun kalau tengok bayaran RM2,000 kos perkhidmatan dan kebajikan untuk menjaga pembantu rumah ini selama lima tahun... anda rasa bagaimana?" katanya.

Berhubung isu ada majikan dikata dikenakan bayaran hingga RM20,000 bagi mendapatkan seorang PDI pula, Zarina berkata, mereka mempunyai pilihan untuk mencari agensi yang boleh menawarkan pekerja itu pada harga lebih rendah.

"Kadang-kadang membabitkan kos tersembunyi yang mana ada permintaan majikan untuk mendapatkan pembantu rumah dengan segera (menyebabkan kos pengurusan menjadi tinggi)," katanya.

Berita Harian X