Isnin, 30 Januari 2023 | 10:42pm
 Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin

'Lantik Nurul Izzah jadi penasihat bukti Anwar khianati perjuangan reformasi'

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa tidak memegang pada janji apabila mengkhianati semangat perjuangan reformasi yang dilaungkannya sejak 20 tahun lalu selepas melantik anaknya, Nurul Izzah sebagai penasihat kanan bagi ekonomi dan kewangan, semalam.

Susulan itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Anwar perlu meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan, selain menasihati Nurul Izzah supaya turut melakukan tindakan sama.

Beliau berkata, masa depan Nurul Izzah dalam politik tidak seharusnya dicemarkan dengan pelantikan dibuat tidak kena pada tempatnya.

"Anwar pula masih belum terlambat untuk memperbaiki keadaan...letak jawatan sebagai Menteri Kewangan dan seharusnya fokus kepada tugas sebagai Perdana Menteri, lebih-lebih lagi ketika rakyat dan negara sedang menghadapi waktu yang sukar.

"Skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tercetus apabila Perdana Menteri pada masa itu, Datuk Seri Najib Razak, adalah juga Menteri Kewangan. Anwar tidak patut mengulangi kesilapan sama," katanya melalui kenyataan, di sini.

Semalam, media melaporkan Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR, dilantik sebagai penasihat kanan bagi ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri, yang juga ayahnya, berkuat kuasa 3 Januari lalu.

Perdana Menteri kemudian menjelaskan pelantikan Nurul Izzah tidak akan menerima sebarang elaun dan beliau sendiri mempelawa anaknya, yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu membantunya sebagai penasihat di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan.

Pelantikan itu juga mengundang perdebatan dalam kalangan pengguna di media sosial selain kritikan banyak pihak lain.

Muhyiddin yang juga Ketua Ahli Parlimen PN berkata, tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia, seorang Perdana Menteri melantik anak sebagai penasihat.

"Pelantikan ini menjadikan slogan reformasi yang dilaungkan Anwar sejak lebih 20 tahun lalu sebagai omongan kosong," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, Anwar juga perlu mengarahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya mengambil cuti sehingga kes mahkamahnya selesai.

Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan pimpinan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) tidak bermula dengan langkah yang betul sejak awal penubuhan lagi yang mana janji tatakelola yang baik dikhianati apabila Anwar melantik Ahmad Zahid yang sedang berdepan tuduhan jenayah di mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Katanya, ia dilakukan Anwar, semata-mata kerana ingin membalas budi Ahmad Zahid yang berjaya memaksa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) memberikan sokongan kepada Presiden PKR itu sebagai Perdana Menteri.

"Malulah rakyat Malaysia jika beliau ke luar negara bertemu pemimpin dunia atas tugasan rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri sedangkan kesnya masih dibicarakan di mahkamah. Apa agaknya tajuk berita di negara yang dilawatinya.

"Sebagai pemimpin parti pembangkang, saya boleh saja mengambil kesempatan daripada kesilapan demi kesilapan yang dilakukan Anwar dan kerajaannya.

"Tetapi sebagai rakyat biasa, saya tidak rela melihat maruah negara tercalar kerana keterlanjuran Perdana Menteri," katanya.

Berita Harian X