Isnin, 30 Januari 2023 | 6:12pm

Malaysia-Singapura teroka bidang keterjaminan makanan - PM

SINGAPURA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat bidang keterjaminan makanan sebagai antara bidang yang boleh diteroka bersama dengan Singapura, dengan sasaran memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

Anwar yang dalam lawatan rasmi di sini, hari ini, berkata bidang baharu itu boleh diteroka seiring dengan isu tertunggak lain yang perlu diberi tumpuan oleh Malaysia dan Singapura.

"Bidang ini (keterjaminan makanan) yang saya fikir kami akan dapatkan sokongan Singapura, untuk menggunakan Malaysia sebagai pusat utama bagi pengeluaran, untuk manfaat kedua-dua negara.

"Pentadbiran saya masih baharu, namun pandangan saya dan Kabinet saya jelas, bahawa bukan saja kita berhasrat meneruskan hubungan (dua negara), malah kita mahukan rakyat di kedua-dua negara faham kita adalah dua negara hebat, jiran yang hebat, banyak lagi yang boleh kita lakukan untuk manfaat rakyat," katanya berucap pada majlis makan tengah hari rasmi yang dihoskan rakan sejawatnya dari Singapura Lee Hsien Loong.

Sehubungan itu, Anwar berkata, terpulang kepada pemimpin Singapura untuk meneruskan dan melangkah maju ke hadapan, bukan saja dalam bidang perdagangan, pelaburan dan keselamatan siber, tetapi juga menyelesaikan semua isu tertunggak.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang akan memupuk kerjasama dalam bidang baharu dan meningkat maju, terutama berkaitan ekonomi digital serta hijau dan keselamatan siber.

Sementara itu, Hsien Loong dalam ucapannya berkata, Anwar dan beliau mengadakan perbincangan yang banyak membuahkan hasil awal hari ini, termasuk mengenai bagaimana kedua-dua negara boleh mencapai kemajuan dalam pelbagai isu dua hala yang tertunggak.

"Sebagai rakan dan jiran yang baik, hala tuju Singapura dan Malaysia adalah saling berkaitan. Apabila kita bekerjasama secara konstruktif, kita akan mendapatkan hasil menang-menang dengan manfaat ketara bagi rakyat dan urusan kita.

"Saya yakin dengan sokongan Perdana Menteri Malaysia, hubungan Singapura-Malaysia boleh mencapai tahap yang tinggi," katanya.

Terdahulu, Anwar mengadakan pertemuan empat mata dengan Hsien Loong sebelum membuat kunjungan hormat ke atas Presiden Halimah Yacob.

"Presiden Halimah akan melawat Malaysia tidak lama lagi. Ia adalah tanda awal bahawa hubungan kedua-dua negara semakin bertambah akrab," kata Anwar.

-- BERNAMA

Anwar (kiri) dan Hsien Loong dalam pertemuan empat mata sebelum meneruskan mesyuarat delegasi di Istana hari ini. Foto Bernama
Anwar (kiri) dan Hsien Loong dalam pertemuan empat mata sebelum meneruskan mesyuarat delegasi di Istana hari ini. Foto Bernama
Berita Harian X