Isnin, 30 Januari 2023 | 4:48pm

UMNO belum ambil tindakan terhadap ADUN sokong Hajiji - Zahid

KOTA KINABALU: UMNO belum mengambil tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu di Sabah yang membelakangkan keputusan UMNO Sabah menarik balik sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, baru-baru ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tindakan terhadap lima ADUN yang terbabit dalam kemelut antara UMNO-Barisan Nasional (BN) dan kerajaan negeri itu diputuskan secara berasingan daripada tindakan lain yang dibuat UMNO. Penyelesaian terhadap isu itu diserahkan kepada Lembaga Disiplin.

"Isu mengenai ADUN UMNO Sabah akan saya bincangkan secara berasingan. Beberapa penyelesaian dan tindakan perlu diambil berhubung perkara itu.

"Kaedah penyelesaiannya kita mempunyai Lembaga Disiplin UMNO yang kita serahkan untuk membuat keputusan," katanya selepas Mesyuarat Khas bersama UMNO Sabah, petang ini.

Yang turut hadir ialah Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan timbalannya, Datuk Yakub Khan.

Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat khas di Bangunan UMNO Sabah hari ini. - Foto NSTP/Mohd Adam Arinin
Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat khas di Bangunan UMNO Sabah hari ini. - Foto NSTP/Mohd Adam Arinin

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam rangka lawatan sehari ke Sabah untuk menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir di daerah Pitas, kira-kira 200 kilometer dari sini.

Beliau ditanya mengenai kedudukan lima ADUN UMNO iaitu Datuk Ir Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit).

Kelima-lima ADUN UMNO berkenaan menyokong Hajiji untuk terus mengetuai kerajaan negeri selepas Bung Moktar mengumumkan hilang kepercayaan dan mengambil keputusan menarik balik sokongan kepada Hajiji dan kerajaan pimpinannya pada awal bulan ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pihaknya berharap kerajaan perpaduan yang dilaksanakan di peringkat Persekutuan dapat diterjemahkan juga di Sabah.

Hajiji Noor (tengah) dan Menteri Tugas-tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Ariffin Arif (kanan) pada perjumpaan bersama ADUN UMNO Sabah di Kota Kinabalu pada 6 Januari lalu.
Hajiji Noor (tengah) dan Menteri Tugas-tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Ariffin Arif (kanan) pada perjumpaan bersama ADUN UMNO Sabah di Kota Kinabalu pada 6 Januari lalu.
Berita Harian X