KUALA TERENGGANU: Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini menetapkan 12 Februari depan bagi memutuskan bantahan awal petisyen pilihan raya yang difailkan oleh calon Barisan Nasional (BN) untuk membatalkan kemenangan Tan Sri Abdul Hadi Awang di Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hassan Abdul Ghani yang bersidang sebagai Hakim Pilihan Raya menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mewakili Abdul Hadi dan Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Jasmira Othman.
Sementara itu, Takiyuddin berkata, prosiding hari ini untuk mendengar bantahan awal daripada pihak Ahli Parlimen Marang terhadap petisyen yang difailkan calon BN.
"Antaranya (yang dibangkitkan) beberapa perkara (seperti) persoalan undang-undang, prosedur dan sebagainya, jadi hari ini telah didengar oleh Yang Arif Hakim Pilihan Raya.
"Setelah mendengar daripada pihak kami (iaitu) pihak responden dan juga dengar hujahan balas daripada pihak pempetisyen, mahkamah menetapkan untuk kedua-dua pihak memasukkan hujah tambahan dalam perkara-perkara tertentu yang ditentukan oleh Hakim dimasukkan sebelum 6 Februari.
"(Tarikh) 6 Februari itu penghujahan tambahan atas fakta yang ditetapkan oleh Hakim dan mahkamah akan membuat keputusan sama ada bantahan kami ini diterima atau tidak pada 12 Februari.
"Kalau bantahan awal kami diterima maknanya tidak ada perbicaraan untuk petisyen Marang ini, kalau bantahan kami ditolak, maka mahkamah menetapkan tarikh untuk perbicaraan petisyen penuh," katanya.
Terdahulu, Hassan menolak permohonan pihak pempetisyen bagi menukar hakim untuk mengendalikan kes berkenaan.
Hassan dalam penghakimannya berkata, mahkamah berpendapat peguam pempetisyen gagal menunjukkan unsur-unsur berat sebelah selain berpendapat hujahan pempetisyen hanya berpandu kepada persepsi sahaja.
Pada 3 Januari lalu, Badan Perhubungan UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.
Petisyen membabitkan tiga Parlimen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata, petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan Pas telah menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November 2022, beberapa hari sebelum PRU15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.