PELBAGAI kajian telah mendedahkan yang literasi kewangan mampu mengukuhkan daya tahan kewangan seseorang individu dan memperkasa mereka untuk membuat keputusan yang lebih bertanggungjawab dalam pengurusan kewangan.
Literasi kewangan juga penting untuk membantu konsumer kewangan supaya mereka tidak terjebak dengan penipuan kewangan (scam) dan lebih berpengetahuan tentang risiko berkaitan penggunaan kewangan digital.
Usaha meningkatkan tahap literasi kewangan merupakan tanggungjawab jangka panjang yang memerlukan komitmen yang berterusan daripada pelbagai pihak.
Dengan meningkatkan kemampuan dan keupayaan rakyat Malaysia, kita dapat memupuk masyarakat yang lebih berjati diri dalam membina kesejahteraan kewangan.
Inisiatif ini merupakan elemen penting dalam merealisasikan potensi sebenar rakyat Malaysia.
Sehubungan itu, Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) telah merangka 'Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan' bagi membantu individu menjadi lebih cakna dalam bab perancangan aliran tunai merangkumi pelbagai aspek bagi membina ketahanan kewangan jangka panjang.
Naib Presiden Eksekutif, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia dan Ahli Jawatankuasa Pemandu Peringkat Tinggi FEN), Wan Ahmad Ikram Wan Ahmad Lotfi berkata, kesemua lapan ahli FEN mempunyai dasar dan inisiatif jangka panjang dalam pendidikan kewangan untuk meningkatkan kesejahteraan kewangan rakyat Malaysia.
"Kami memanfaatkan sumber dan kepakaran ahli dalam jaringan ini supaya dapat bekerjasama, menyelaras dan secara kolektif memacu usaha mempromosi pelaksanaan inisiatif pendidikan kewangan dengan lebih berkesan dan juga menggalakkan liputan pendidikan kewangan yang mencukupi bagi kumpulan sasaran," katanya.
Tahap celik kewangan digital golongan belia
Antara pendekatan melalui Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan yang digubal dalam tempoh lima tahun ini daripada 2019 hingga 2023 ialah meningkatkan literasi kewangan rakyat Malaysia dan memupuk tabiat dan sikap bertanggungjawab dalam pengurusan kewangan di semua peringkat umur.
Menurut Pengarah Jabatan Rangkuman Kewangan, Bank Negara Malaysia dan Pengerusi Bersama Kumpulan Kerja FEN Nor Rafidz Nazri, hasil Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan (FCI) 2021, tahap literasi kewangan rakyat Malaysia masih rendah yang mana 47 peratus rakyat Malaysia sukar menyediakan RM1,000 wang kecemasan.
"Lebih teruk, hanya 20 peratus sahaja mampu menampung perbelanjaan hidup sekurang-kurangnya tiga bulan atau lebih jika kehilangan pendapatan serta dalam kajian tersebut juga, 69 peratus lebih suka berbelanja sekarang daripada menyimpan wang," katanya.
Dalam keadaan ekonomi yang mencabar ini, antara isu kewangan yang membelenggu rakyat terutama golongan belia adalah mereka terbeban dengan hutang akibat perancangan kewangan tidak baik ketika mula bekerja.
Misalnya, mereka berbelanja demi memenuhi kehendak gaya hidup serba moden dan mewah, seterusnya menjerat mereka dalam beban hutang.
Bukan itu sahaja, sebanyak 35 peratus rakyat Malaysia tidak berminat kepada perlindungan insurans kerana menganggap ia sebagai beban dan 'produk mewah'.
Dalam hal ini, FEN akan memainkan peranan penting bagi membantu dalam kesedaran literasi kewangan seperti memperkenalkan perlindungan insurans mikro serendah RM12 setahun.
Seterusnya, isu utama yang menjadi perhatian ialah pengetahuan kewangan digital yang masih lagi lemah yang mana satu pertiga rakyat Malaysia masih berkongsi kata laluan perbankan mereka dengan orang lain.
Bahkan, 62 peratus rakyat Malaysia tidak cakna terhadap keselamatan laman sesawang yang membawa kepada mangsa penipuan dalam talian.
Inisiatif dan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan
Sebagai langkah ke hadapan, FEN mengambil inisiatif besar seperti elemen celik kewangan di dalam kurikulum sekolah daripada peringkat pra-sekolah sehingga ke tingkatan lima dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
"Untuk golongan belia, kita bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperkenalkan mata pelajaran Pengurusan Kewangan Peribadi sebagai subjek elektif.
"Jadi modul ini disediakan oleh ahli FEN, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang mendapat pengiktirafan Malaysian Qualifications Agency (MQA)," tambah Rafidz
Selain itu, golongan dewasa yang merupakan kakitangan awam akan dibekalkan satu modul dalam platform disediakan.
Manakala untuk kakitangan swasta, FEN akan menyediakan Program Power yang disediakan secara percuma dalam talian oleh AKPK menerusi pautan ini.
Terdapat pelbagai program disediakan termasuk Program Rumahku AKPK yang menawarkan lima modul seperti pengiraan kelayakan, kemampuan kewangan, tanggungjawab peminjam dan khidmat nasihat percuma kepada bakal pembeli rumah di Malaysia.
Bagi golongan milenial, PIDM menyediakan kempen daya tahan kewangan yang dinamakan #SediaPayungKewangan.
Kempen ini menekankan literasi kewangan sebagai salah satu kemahiran hidup yang perlu dalam membina daya tahan kewangan seseorang individu dan lebih bersedia dalam menghadapi cabaran kewangan dan kecemasan
Bukan itu sahaja, pada tahun 2022 ahli FEN dan rakan strategik turut menyediakan lebih 400 inisiatif melalui pelbagai platform bagi menekankan kepentingan literasi kewangan sebagai satu kemahiran hidup.
Antaranya ialah Sambutan Bulan Literasi Kewangan pada setiap Oktober yang mana FEN akan menganjurkan program literasi kewangan di kawasan bandar dan luar bandar termasuk institusi pengajian tinggi. Bulan Literasi Kewangan pada tahun 2022 memfokuskan kepada peningkatan literasi kewangan digital termasuk scam.
Terbaharu, FEN dengan kerjasama Persatuan Bank Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) menganjurkan pertandingan video pendek MyDuitStory3.0 bertemakan 'Penipuan Kewangan'.
Pertandingan ini terbuka kepada semua pelajar di IPTA, IPTS, dan pelajar Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), serta pelajar Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) di bawah KBS.
Ketahui lebih lanjut tentang terma dan syarat pertandingan di laman web FEN www.fenetwork.my/myduitstory serta berpeluang memenangi hadiah utama bernilai RM8,000.