Isnin, 30 Januari 2023 | 2:25pm
Difahamkan, orang tengah atau calo perlu dibayar antara RM4,000 hingga RM6,000 (12 hingga 20 juta Rupiah) seorang, belum dicampur pelbagai kos lain. - Foto hiasan
Difahamkan, orang tengah atau calo perlu dibayar antara RM4,000 hingga RM6,000 (12 hingga 20 juta Rupiah) seorang, belum dicampur pelbagai kos lain. - Foto hiasan

Orang tengah punca kos ambil amah Indonesia mahal

KUALA LUMPUR: Khidmat orang tengah atau 'calo' yang digunakan di Indonesia bagi mencari mereka yang berminat menjadi pembantu rumah, didakwa menyebabkan kos mendapatkan amah dari negara itu untuk berkhidmat di Malaysia melambung tinggi mencecah RM30,000.

Difahamkan, orang tengah atau calo perlu dibayar antara RM4,000 hingga RM6,000 (12 hingga 20 juta Rupiah) seorang, belum dicampur pelbagai kos lain, antaranya dokumentasi, penginapan, latihan, tiket penerbangan dan makanan sebelum amah berkenaan dihantar ke negara ini.

Mendedahkan demikian, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Swasta Malaysia (PIKAP), Fiona Low, berkata perkara itu dimaklumkan dalam sebut harga oleh Agensi Perkhidmatan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) di republik berkenaan.

Katanya, bayaran dirujuk sebagai yuran tajaan itu memberi kesan kepada peningkatan kos keseluruhan kerana pengambilan khidmat seseorang pembantu rumah atau PDI juga memerlukan antara RM9,000 hingga RM13,000 dibayar kepada agensi perkhidmatan di peringkat Indonesia sahaja.

"Atas dasar itu, kita berharap Indonesia dan Malaysia dapat bersama-sama mengawal kos pembekal dan pembeli bagi menjayakan pengambilan PDI untuk datang bekerja di negara ini. Ini kerana setiap harga jualan bergantung kepada harga bekalan.

"Kalau harga bekalan tinggi, harga jualan akan ikut tinggi, jadi kawalan di peringkat kedua-dua pihak diperlukan. Sebaiknya, apabila kedua-dua negara bersepakat dengan harga RM15,000, ia perlu memberi situasi menang-menang kepada semua majikan dan agensi di kedua-dua belah pihak.

"Harga pembekal dan penjual diharap dapat dikawal bersama-sama, di Indonesia dan di Malaysia oleh kerajaan masing masing, iaitu pada kos RM7,500 bagi setiap agensi dari kedua-dua negara, menjadikan jumlah akhirnya RM15,000," katanya kepada BH.

Pada 24 Januari lalu, Konsul Jenderal Republik Indonesia Johor Baharu, Sigit Suryantoro Widiyanto dilaporkan berkata, pihaknya mengesan terdapat agensi pengambilan pembantu rumah di Malaysia mengenakan bayaran antara RM20,000 hingga RM30,000 bagi mendapatkan seorang PDI.

Ia jauh lebih tinggi berbanding kadar tidak melebihi RM15,000 ditetapkan kedua-dua negara melalui memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada April 2022. Selain kadar terbabit, MoU itu antara lain menetapkan PDI harus dibayar gaji bulanan RM1,500.

Fiona berkata, di peringkat agensi tempatan pula, kos bersesuaian ialah antara RM4,000 hingga RM5,000, bergantung jenis perkhidmatan disediakan agensi dan keperluan majikan.

"Ini kerana perkhidmatan pembekal PDI bukan setakat urus ketibaan mereka di Malaysia semata-mata, sebaliknya berterusan selama PDI itu bekerja di Malaysia. Kos juga membabitkan bayaran levi, perubatan, insurans, belanja pengurusan untuk mengurus kedatangan PDI dan persiapan tempat tinggal.

"Kos akan berterusan jika PDI berdepan masalah tidak boleh atau tidak sesuai bekerja, memerlukan kaunseling atau latihan. Semua itu belum mengambil kira margin keuntungan yang perlu dikenakan oleh agensi tempatan kepada majikan atas perkhidmatan terbabit," katanya.

Katanya, PIKAP menghormati MoU yang dibentuk, namun ia harus dapat dikawal oleh kedua-dua belah pihak, iaitu harga pembekal ditetapkan di pihak agensi di Indonesia dan harga jualan atau bayaran perkhidmatan di pihak agensi di Malaysia.

Bayaran calo tinggi

Sementara itu, Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein ketika mengesahkan peranan calo di Indonesia, berkata bayaran untuk orang tengah itu menyumbang lebih 30 peratus daripada keseluruhan kos perlu dibayar majikan bagi mendapatkan PDI.

Beliau berkata, hasil lawatannya ke Indonesia bagi menyiasat proses pengambilan PDI, agensi negara jiran itu didapati perlu membayar sejumlah bayaran yang tinggi bagi perkhidmatan calo sahaja, di mana kos terbabit kemudiannya perlu diserap majikan.

"Secara keseluruhannya, kos yang dikenakan kepada majikan oleh pihak agensi di Indonesia dianggarkan melebihi 70 peratus, manakala bakinya pula oleh agensi tempatan di negara kita," katanya.

Sehubungan itu, katanya, pelaksanaan program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 yang bermula 27 Januari lalu boleh mengurangkan kos pengambilan PDI yang kini ditetapkan RM15,000 kepada hanya kira-kira RM3,500.

"Orang tengah ini akan ke daerah atau perkampungan di Indonesia mencari individu berminat untuk bekerja sebagai PDI. Orang tengah kemudian membuat profil individu terbabit dan menyerahkan mereka kepada agensi di Indonesia.

"Di sinilah kos pertama yang perlu ditanggung oleh majikan, dalam anggaran RM5,000 dikenakan calo kepada agensi di Indonesia. Kos itu termasuk bayaran bagi keluarga tenaga kerja berkenaan, saringan kesihatan, profil dan kos pengangkutan calo untuk ke kawasan kampung.

"Ia boleh dikurangkan jika kita menggunakan khidmat PDI yang sedia ada di Malaysia mengesyorkan kenalan atau ahli keluarga mereka untuk diambil bekerja di negara kita," katanya.

Katanya, kos seterusnya yang dikenakan membabitkan latihan, asrama, tiket penerbangan dan pemprosesan 'calling visa' bagi PDI di Indonesia.

"Kos bagi mengurus PDI dari awal sehingga tiba di lapangan terbang di negara kita, dianggarkan sekurang-kurangnya RM10,000 sebelum caj seterusnya dikenakan oleh agensi tempatan di Malaysia pula kepada majikan.

"Tiba di negara ini, majikan perlu membayar kos dikenakan agensi tempatan seperti levi, insurans, saringan kesihatan Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA), penginapan dan pengangkutan serta margin keuntungan," katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, pihaknya amat menyokong pelaksanaan RTK 2.0 yang bukan sahaja dapat menjimatkan kos pengambilan PDI, malah prosesnya juga lebih cepat iaitu boleh diselesaikan seawal tiga hari.

"Majikan yang sudah ada PDI tapi tiada dokumen atau visa sudah tamat tempoh, boleh mengambil kesempatan melalui RTK 2.0 ini," katanya.

Berita Harian X