IPOH: Keputusan untuk menerima pimpinan UMNO yang dipecat sekiranya mereka mahu menyertai parti dalam Pakatan Harapan (PH) akan mengambil kira pandangan pimpinan setiap parti komponen dalam gabungan itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH, berkata perkara itu juga perlu menjaga kesepakatan dalam Kerajaan Perpaduan.
"Setakat waktu ini, masih belum ada sebarang pelawaan untuk ahli (UMNO) yang dipecat itu untuk bersama PH.
"Sekiranya ada, kita akan teliti dan tentunya mendapat pandangan pimpinan lain," katanya selepas merasmikan pembukaan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun di Meru Raya, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad dan Timbalan Pengerusi PKR Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, pandangan daripada pimpinan parti komponen lain perlu menjaga kerukunan dan kedamaian Kerajaan Perpaduan yang dibentuk antara PH dan Barisan Nasional (BN) khususnya.
Semalam, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, dilaporkan berkata, parti dalam PH akan membuat pertimbangan masing-masing sekiranya ada permohonan daripada ahli UMNO yang dipecat untuk menyertai mana-mana parti gabungan itu.
Katanya, PH tidak mahu masuk campur dalam urusan parti komponen dan setakat ini, mana-mana ahli UMNO yang berdepan tindakan itu juga belum menyatakan hasrat mereka.
Nada sama turut disuarakan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang dilapor berkata, PKR akan berbincang terlebih dulu jika ada pemimpin UMNO yang dipecat mahu menyertai mereka serta menegaskan beliau tidak boleh membuat keputusan itu secara berseorangan, sebaliknya perlu dibuat secara kolektif oleh semua pemimpin PKR.
Media sebelum ini melaporkan, bekas Ketua Pemuda UMNO yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dipecat daripada UMNO.
Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif pula digantung keahlian selama enam tahun.