Sabtu, 28 Januari 2023 | 10:24pm
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto fail NSTP
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto fail NSTP

PN sedia terima pemimpin UMNO dipecat, digantung

SEREMBAN: Parti gabungan Perikatan Nasional (PN) bersedia untuk menerima pemimpin UMNO yang dipecat dan digantung untuk menyertai mana-mana parti dalam gabungan itu.

Ketua Penerangan merangkap Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali, berkata PN tidak mempunyai sebarang masalah untuk menerima pemimpin dan ahli UMNO yang ingin berjuang bersama dalam gabungan itu.

"Selagi pemimpin dan ahli UMNO berpegang teguh kepada prinsip menyuburkan demokrasi, PN sentiasa bersedia untuk bersama-sama dengan mereka yang mahukan kerajaan bersih dan stabil.

"Kita (PN) boleh bersama dengan pemimpin seperti ini, namun tiada paksaan dan sedia berbincang dengan mereka selagi dapat menerima

idealogi dan matlamat perjuangan PN.

"Saya atas sifat peribadi juga banyak mengadakan pertemuan dengan pemimpin dan ahli UMNO, khususnya selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU), di mana didapati begitu ramai ahli parti itu yang kecewa dengan menyifatkan demokrasi dalam UMNO sudah mati," katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Penutupan Bengkel Pengucapan Awam BERSATU Negeri Sembilan di sebuah hotel yang turut dihadiri Pengerusi PN negeri, Datuk Eddin Syazlee Sith dan Pengerusi Perhubungan GERAKAN Negeri Sembilan, Datuk Choong Vee Hing

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, malam tadi membuat keputusan

menggantung selama enam tahun empat pemimpin parti itu.

Mereka terdiri Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; Ketua UMNO

Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin pula dipecat daripada

parti itu.

Mohamad Azmin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU berkata, setakat ini tiada perbincangan diadakan dengan bekas pemimpin berkenaan berhubung penyertaan dalam parti gabungan PN.

Bekas Ahli Parlimen Gombak itu turut mengakui mereka yang dipecat dan digantung keahlian adalah kalangan pemimpin dan individu dalam UMNO yang memiliki kualiti kepemimpinan serta boleh menyumbang tenaga dan kepakaran untuk kepentingan negara serta rakyat.

"Kita (PN) boleh bincang, namun setakat ini belum ada. Saya percaya sebagai sahabat, perkara ini (penyertaan) boleh kita melihat peranan masing-masing untuk kepentingan negara.

"Yang kita lawan adalah kleptokrat, perasuah, salah guna kuasa, tetapi mereka (yang dipecat dan digantung) mempunyai matlamat yang sama, suara KJ (Khairy Jamaluddin), suara Hishamuddin dan suara Shahril Sufian adalah senada dengan PN.

"Walaupun sebelum ini kita bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) tapi kita tidak berkompromi dalam soal prinsip, nilai dan integriti," katanya.

Berita Harian X