Sabtu, 28 Januari 2023 | 8:04pm
Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohamad beramah mesra dengan pasangan pengantin di Rumah Citra Sri Pinang, Benut di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohamad beramah mesra dengan pasangan pengantin di Rumah Citra Sri Pinang, Benut di sini, hari ini.

'Saya terasa seolah-olah dibuli' - Hasni

PONTIAN: Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohamad, yang digugurkan daripada jawatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, terasa dirinya seolah-olah dibuli.

Ini kerana beliau menganggap sudah melakukan yang terbaik apabila berjaya membawa Johor memperoleh kemenangan dengan majoriti yang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.

"Saya sedaya upaya memberikan yang terbaik sejak menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor pada 2018 dan mengetuai PRN Johor tahun lalu sehingga memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Saya juga sudah melakukan yang terbaik pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dengan memastikan kehadiran semua perwakilan daripada 26 Bahagian UMNO di Johor serta menjaga kebajikan mereka.

"Saya rasa, hanya kerana saya menyokong idea supaya jawatan tertinggi parti dipertandingkan, mereka merasakan bahawa saya menentang kehendak parti," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perkahwinan di Citra Sri Pinang, Benut di sini, hari ini.

ADUN Benut itu berkata demikian ketika diminta mengulas kedudukannya yang diambil alih Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Hasni berkata, jika keputusan menggantikan beliau dengan Ahli Parlimen Kota Tinggi yang juga Naib Presiden UMNO itu boleh menguatkan kedudukan Mohamed Khaled di peringkat pusat, tiada masalah untuknya menyokong keputusan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, akan timbul masalah, jika tujuan utama keputusan itu adalah sebaliknya.

"Saya hanya ingin mengatakan bahawa kita sebagai Badan Perhubungan Negeri boleh mengenengahkan tokoh-tokoh di peringkat negeri, oleh itu, jika dengan menerajui UMNO Johor boleh menguatkan kedudukan beliau (Mohamed Khaled) di peringkat pusat, maka kita sokong,

"Tetapi, jika kedudukan itu hanya semata-mata pendekatan untuk mempertahankan orang-orang tertentu, saya percaya beliau akan menghadapi kesukaran untuk berbuat demikian," tegasnya.

Keputusan menggugurkan Hasni daripada jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor sebelum digantikan dengan Mohamed Khaled dibuat pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, malam tadi.

Mengulas tentang mesyuarat berkenaan, Hasni berkata, beliau hadir pada mesyuarat itu malam tadi, tetapi tidak diberikan peluang untuk menjelaskan sesuatu.

"Saya ada juga mendengar desas-desus perkara itu (digugurkan) sebelum mesyuarat MKT malam tadi," katanya.

Mesyuarat MKT malam tadi juga mengambil tindakan dengan memecat bekas Menteri Kesihatan yang juga bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin serta bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Beberapa pemimpin lain turut digantung selama enam tahun termasuk Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Mohd Sharif dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Pada masa sama, Hasni berharap, pemimpin UMNO yang dipecat atau digantung keahlian masih berpeluang membuat rayuan dan menegaskan bahawa dirinya masih lagi Ahli MKT UMNO.

Berita Harian X