KUALA LUMPUR: Penyedia penerbangan sewa khas untuk haji dan umrah, Amal by Malaysia Airlines (Amal), menegaskan jualan harga tiket penerbangan umrah yang ditetapkan rakan strategiknya ketika ini adalah rendah dan selari dengan harga pasaran.
Harga jualan tiket di pasaran semasa bermula dari RM3,500 hingga RM4,500 bagi tiket kelas ekonomi, manakala RM6,000 hingga RM7,000 untuk tiket kelas perniagaan.
Amal menyebut, pihaknya sentiasa memantau prestasi dan penjualan tiket oleh rakan strategiknya dalam kalangan agensi pengendali umrah.
"Amal sentiasa memastikan rakan strategik memenuhi kewajipan seperti yang termaktub dalam kontrak.
"Mereka dibenarkan menjual tiket hanya kepada agensi umrah yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
"Pada masa ini, kami belum memperoleh sebarang aduan atau maklumat mengenai tiket yang dijual dengan harga RM5,000 untuk kelas ekonomi untuk kami mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya kepada BH.
Amal diminta mengulas isu kenaikan mendadak tiket penerbangan ke Tanah Suci, yang didakwa kini mencecah sehingga RM5,000 disebabkan tindakan membolot tiket dalam kalangan agensi umrah.
Mereka didakwa menjual semula tiket selepas membuat pembelian melalui syarikat penerbangan tempatan.
Amal turut menggesa agensi umrah yang berdepan isu sedemikian untuk membuat aduan secara rasmi.
Amal turut mengulas aduan beberapa agensi umrah yang tidak berpuas hati susulan dakwaan kebanyakan tiket penerbangan umrah dijual kepada agensi umrah Indonesia.
"Sebagai syarikat penerbangan global, Amal ditubuhkan khusus untuk menawarkan perkhidmatan bagi segmen umrah dan haji, merangkumi pasaran Malaysia dan ASEAN.
"Selaras dengan itu, Amal menambah bilangan penerbangan kepada 20 kali seminggu iaitu sebanyak tiga kali ganda berbanding dengan operasi pada tahun 2018 dan sebelumnya.
"Pada 2019, kapasiti lebihan selepas permintaan daripada agensi Malaysia, disokong oleh agensi Indonesia sebanyak 10 peratus daripada kapasiti tempat duduk yang disediakan," katanya.
Amal menyebut, pihaknya mengekalkan hubungan strategik bersama agensi Indonesia, tahun ini.
"Kapasiti Amal untuk penerbangan umrah pada musim ini hampir menyamai musim umrah 2019.
"Berdasarkan perancangan ini dan prestasi tahun 2019, kapasiti yang ditawarkan sepatutnya mencukupi untuk kedua-dua pasaran.
"Bagaimanapun, pada pandangan kami, keadaan di pasaran pada masa ini adalah di luar jangkaan berkemungkinan disebabkan oleh pelbagai faktor," katanya.
Amal by Malaysia Airlines adalah anak syarikat Malaysia Aviation Group Bhd (MAG), yang menawarkan ciri unik dalam penerbangan berasaskan umrah dan haji.
Antara ciri unik itu adalah talbiah, doa musafir, laungan azan dan tazkirah dalam penerbangan serta pengumuman miqat kepada jemaah.