Sabtu, 28 Januari 2023 | 3:08pm
Datuk Dr Puad Zarkashi (kanan) dan Khairy Jamaluddin. - Foto NSTP
Datuk Dr Puad Zarkashi (kanan) dan Khairy Jamaluddin. - Foto NSTP

'Hishammuddin digantung jadi dalang sokong PN, KJ dipecat kerana melampau' - Puad

JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang juga Bendahari Barisan Nasional (BN) didakwa menjadi dalang yang menggerakkan Ahli Parlimen gabungan itu menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, mendakwa tindakan Hishammuddin yang juga bekas Naib Presiden UMNO yang sering membelakangkan parti, termasuk bertindak menyokong Perikatan Nasional (PN) dan isu SD itu membawa kepada keputusan parti menggantung beliau selama enam tahun malam tadi.

"Dia (Hishammuddin) tidak serik membelakangkan parti. Bawa MP (Ahli Parlimen) UMNO ke rumah (Datuk Seri) Azmin Ali.

"Suruh Ketua Bahagian Sabah masuk BERSATU. Penggerak utama MP BN tanda tangan SD sokong Muhyiddin adalah Hishammuddin," katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Selain Hishammuddin, turut dikenakan penggantungan bagi tempoh sama ialah Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan dan Ketua UMNO bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan Ketua UMNO bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Bekas Ketua Pemuda UMNO yang juga Timbalan Ketua UMNO bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar, yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang, dipecat keahlian masing-masing oleh MKT malam tadi.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohamad, yang juga Ketua UMNO bahagian Pontian serta bekas Menteri Besar Johor pula digugurkan daripada jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor.

Tempat Hasni yang juga ADUN Benut itu, diambil alih Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi.

Semua keputusan itu dibuat dalam mesyuarat MKT UMNO yang dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, malam tadi.

Mengulas tindakan MKT memecat Khairy, Mohd Puad yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, mendakwa ia berikutan tindakan melampau bekas Menteri Kesihatan.

"Kenapa KJ dipecat. Khairy memang melampau. Memburukkan parti dan Presiden semasa kempen PRU amat keterlaluan. Fitnah pengundi hantu semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 pula berniat jahat," katanya.

Dalam pada itu, Puad menasihati mereka yang dipecat agar membuat rayuan sekiranya benar cintakan parti.

"Dipecat amat menyakitkan tetapi keperluan. Kalau betul cintakan parti merayulah. Kalau tidak mahu merayu tunggulah enam tahun. Kecuali mereka sudah ada pilihan lain. Buatlah pilihan," katanya.

Berita Harian X