KUALA LUMPUR: Semua ahli UMNO yang dipecat atau digantung daripada parti perlu kekal bertenang dan bersabar dalam berdepan realiti dihadapi.
Bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, berkata parti hanya alat dan landasan untuk berjuang seperti yang dilakukan selama ini.
"Berkata benar itu mahal harganya dan ingatlah, jika pun mereka kini berkuasa, masih ada yang lebih tinggi kuasanya.
"Parti itu ciptaan kita manusia, ia hanya alat untuk berjuang dan ia bukan satu matlamat," katanya.
Beliau berkata, rakyat sudah memberi isyarat, namun UMNO kekal berada dalam penafian.
Annuar berkata, UMNO lebih cenderung menyalahkan rakyat, pengundi dan pihak lain kecuali diri sendiri.
Perikatan Nasional (PN) bersedia membela bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, yang dipecat daripada UMNO.
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, PN akan memberi pembelaan kepada mereka yang dipecat.
"Sebuah parti tidak siuman sedang ghairah pecat orang. Sabar yang kena pecat. Kami akan memberi pembelaan.
"Parti berkenaan ditolak di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Melaka. Menunggu hari Pilihan Raya Negeri (PRN)," katanya menerusi muat naik di Facebook, hari ini.
Shahidan antara pemimpin terawal digugurkan keahlian selepas mencalonkan diri bagi bertanding mewakili parti lawan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sementara itu, Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, menerusi ciapan di Twitter, turut memberi kata semangat-kata kepada Khairy dan Noh.
"Saudaraku, sayapmu tidak lagi terikat. Sekarang, kamu boleh terbang lebih tinggi lagi. Semoga Allah berkati perjuangan suci," katanya.
Semalam, Khairy dan Noh dipecat daripada UMNO atas alasan pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO kerana kesalahan ketika PRU-15.
Pada 9 Disember tahun lalu, Annuar antara tiga pemimpin parti itu yang dipecat pada mesyuarat MKT UMNO.
Turut dipecat, Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shamsiah Yassin yang juga isteri bekas Ketua UMNO Bahagian, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Seorang lagi yang dipecat ialah Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim yang juga isteri penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abu Talib.