Sabtu, 28 Januari 2023 | 12:42pm
Khairy Jamaluddin dan Wong Chia Zhen.
Khairy Jamaluddin dan Wong Chia Zhen.

Dipecat UMNO, KJ dipelawa sertai GERAKAN

KUALA LUMPUR: GERAKAN, salah satu parti komponen Perikatan Nasional (PN) hari ini mempelawa bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyertai parti berkenaan susulan pemecatannya daripada UMNO.

Pemangku Ketua Pemudanya, Wong Chia Zhen, berkata yakin GERAKAN adalah platform yang sesuai untuk Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau itu ketika ini.

"Kami mengalu-alukan kedatangan beliau sebagai ahli GERAKAN. Walaupun beliau pernah memainkan isu perkauman, kononnya pengundi Melayu di Pulau Pinang tidak diberi perhatian yang cukup semasa masih lagi dalam Pemuda, kami sanggup memaafkannya.

"Kita semua manusia, manusia mesti pernah buat salah. Kami mengalu-alukan keahlian Khairy ke dalam GERAKAN," katanya dalam satu kenyataan hari ini, sambil menyifatkan keputusan diambil Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO ke atas Khairy sebagai tidak wajar.

Chia Zen berkata, Khairy ahli politik yang berkaliber dan berjaya memberi tekanan kepada lawannya ketika bertanding mewakili UMNO dan Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

"Majoriti undi dimenangi calon PKR (pada PRU14) dikurangkan daripada 10,000 kepada hanya 1,000, satu-satunya kubu kuat Pakatan Harapan (PH) yang hampir-hampir kalah. Khairy menjadi ahli politik yang kalah besar dalam PRU15 (biggest casualty) disebabkan sentimen buruk terhadap BN.

"BN akhirnya bergabung dengan PH untuk menjadi kerajaan. Apa yang menimpa Khairy tidak sepatutnya berlaku kerana beliau membuktikan antara menteri paling menyerlah semasa era pandemik COVID-19. Keputusan ini tidak adil untuk Khairy," katanya.

Beliau juga melihat nasib menimpa Khairy adalah titik paling rendah dalam karier politik bekas Ketua Pemuda UMNO itu dan GERAKAN boleh memberi sokongan kepadanya.

"Ideologi GERAKAN berteraskan keserdahanaan dan dengan kredibiliti yang ada pada beliau, saya pasti ini akan memberi nafas baru kepada Khairy," katanya.

Malam tadi, MKT UMNO mengumumkan pemecatan Khairy dan Ahli MKT, Tan Sri Noh Omar daripada parti, manakala empat pemimpin lain digantung enam tahun.

Mereka yang digantung ialah bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian; Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian pula digugurkan daripada jawatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor

Difahamkan, tempat beliau akan diambil alih Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi.

Berita Harian X