Sabtu, 28 Januari 2023 | 12:37am

'Siapa sebenarnya pengkhianat dalam UMNO' - Noh Omar

KUALA LUMPUR: Tan Sri Noh Omar yang baru dipecat daripada UMNO menegaskan bahawa beliau bukan seorang pengkhianat kepada parti.

Sebaliknya, bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berkata, beliau sudah mengikut keputusan yang ditetapkan parti termasuklah melalui Perhimpunan Agung UMNO (PAU) khususnya berkaitan pendirian 'No Anwar, No DAP'.

"Saya ingin tahu siapa yang dikatakan pengkhianat. Saya sahkan apa yang Tajudin Rahman (bekas Ahli MKT, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman) pernah berkata bahawa terdapat 15 Ahli Palimen yang menandatangani surat kepada kepada Yang di-Pertuan Agong dan saya dalam kalangan 15 orang itu.

"Tetapi apabila diarahkan untuk memberi sokongan kepada (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, saya tidak mahu tandatangan dan kenapa saya tidak mahu sokong, sebab PAU sudah buat keputusan 'No Anwar No DAP'.

"Malah saya juga sokong keputusan MKT yang menarik sokongan kepada Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yasin ). Jadi siapa yang melanggar keputusan parti (PAU). Siapa yang langgar dialah pengkhianat, tetapi kita pula dituduh," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertiggi (MKT) UMNO, di sini, malam ini.

Terdahulu, MKT UMNO yang dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memecat keahlian Noh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor.

Keputusan itu dibuat selepas Noh mencabar Ahmad Zahid supaya memecat keahliannya terus daripada parti, selepas MKT memutuskan untuk menggantung keahliannya selama enam tahun.

Dalam pada itu, Noh juga mempersoalkan apakah kekalahan UMNO di tujuh negeri dan kemenangan tipis Ahmad Zahid dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu adalah disebabkan tindakan sabatoj.

Dakwa Noh lagi, UMNO ketika ini sudah lari daripada perjuangan parti dan ada pula pihak yang menggunakan parti untuk kepentingan diri sendiri.

"Lebih 27 tahun saya berjuang dalam parti, tetapi hari ini menunjukkan parti digunakan untuk kepentingan tersendiri.

"Betul akan ada pemutihan (dalam UMNO)... untuk ahli di luar termasuk Ketua Pemuda, Ketua Cawangan anda diberi kuasa untuk melakukan pemilihan, tetapi (hak untuk memilih) dirompak dalam PAU baru-baru ini," katanya.

Tan Sri Noh Omar mengadakan sidang media selepas Mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. - NSTP/AIZUDDIN SAAD
Tan Sri Noh Omar mengadakan sidang media selepas Mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. - NSTP/AIZUDDIN SAAD
Berita Harian X