Jumaat, 27 Januari 2023 | 10:27pm
- Foto ihsan Facebook Selangor Royal Office
- Foto ihsan Facebook Selangor Royal Office

Khutbah Jumaat harus jadi peransang pemikiran mengenai isu berkaitan syiar Islam - Sultan Selangor

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar khutbah Jumaat dijadikan antara platform wajib bagi umat Islam di negara ini merangsang dan menyegarkan kembali pemikiran mereka mengenai isu berkaitan syiar Islam.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi Selangor Royal Office, hari ini, Sultan Selangor turut berkenan menzahirkan penghargaan kepada barisan Ahli Jawatankuasa Khutbah dan Panel Khutbah Negeri Selangor bagi tahun 2021 hingga tahun ini yang menghasilkan teks khutbah Jumaat yang amat baik dan cemerlang.

Titah baginda, topik yang dipilih serta isi kandungan khutbah Jumaat yang disampaikan setiap minggu amat bertepatan dan sesuai dengan situasi semasa serta berkait dengan isu yang sedang didepani oleh umat Islam dan masyarakat.

"Baginda berpandangan isi kandungan khutbah Jumaat yang difokuskan juga adalah padat, tepat dan mudah difahami oleh masyarakat dengan penggunaan bahasa yang ringkas serta jelas.

"Antara tajuk yang menyentuh hal semasa pernah diketengahkan adalah 'Bahana Nikah Sindiket', 'Rasuah', 'Bahaya Pemikiran Islam Liberal', 'Kewajipan Mengundi Dalam Pilihan Raya', 'Banggakah Kita Jadi Tukang Viral Fitnah di Media Sosial', 'Fitnah Merosakkan Ummah' dan 'Vaksin Ikhtiar Terbaik'.

"Khutbah Jumaat minggu ini pula membawa tajuk 'Bijak Menyingkapi Pendapat'," tulis hantaran itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa Sultan Sharafuddin akan disembah maklum dengan isi kandungan khutbah terlebih dahulu beberapa hari sebelum ia diperdengarkan kepada awam dan baginda sendiri teruja menantikan kupasan tajuk yang dipilih.

Baginda berharap Ahli Jawatankuasa Khutbah Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh Datuk Salehuddin Saidin serta Panel Khutbah yang dipengerusikan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad akan meneruskan momentum cemerlang dan tampil dengan tajuk, naratif dan isi kandungan khutbah Jumaat yang relevan dengan keadaan semasa.

Berita Harian X