KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan akan merujuk kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) berhubung isu harga tiket penerbangan untuk ke Tanah Suci yang didakwa dibolot syarikat umrah tertentu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, semakan itu akan dibuat untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai isu berkenaan.
"Kita (Kementerian Pengangkutan) akan semak dengan MAVCOM," katanya ringkas melalui WhatsApp, hari ini
BH semalam melaporkan beberapa syarikat umrah tempatan yang 'memborong' tiket penerbangan ke Tanah Suci didakwa turut menjualnya kepada agensi umrah di Indonesia pada harga sehingga RM6,000 bagi mengaut keuntungan besar.
Kegiatan mereka didakwa semakin berleluasa sejak kebelakangan ini disifatkan sebagai satu penindasan kepada pengendali pakej umrah tempatan sehingga ada yang tidak mampu membawa jemaah mengikut jadual ditetapkan disebabkan kos mengerjakan umrah yang menjadi tinggi.
Semakan BH mendapati ada agensi umrah Indonesia yang menghantar jemaah mereka dengan membeli tiket sama ada daripada 'ulat tiket' dalam kalangan pengendali pelancongan tempatan atau membeli terus daripada syarikat penerbangan.
Sementara itu, pegawai Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) ketika dihubungi berkata pihaknya sedang menyelaraskan maklumat dan mendapatkan kelulusan pihak atasan.
Dalam pada itu, sumber memberitahu tiket yang dibeli untuk penerbangan sewa khas atau chartered bebas dijual semula kepada sesiapa termasuk jemaah dari luar negara.
"Ini kerana mereka membeli tiket berkenaan secara pukal dan pihak yang membeli tiket berkenaan (agensi umrah) bebas menjualnya semula," katanya.