SEPANG: Kerajaan Kemboja hanya mengiktiraf wakil Kementerian Luar dan polis untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di negara itu kerana menjadi mangsa sindiket penipuan kerja.
Dengan itu, Kemboja tidak akan melayan permintaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari negara ini yang mahu menguruskan usaha membawa pulang rakyat Malaysia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata persetujuan itu dicapai hasil lawatan delegasi pihaknya bersama Kementerian Luar dan Kedutaan Malaysia di Kemboja, 24 Januari lalu.
Abd Jalil berkata, pihak berkuasa Kemboja mengalu-alukan kerjasama dengan PDRM untuk membantu menyelamatkan mangsa pada bila-bila masa.
Bagaimanapun, Kemboja mendakwa kebanyakan yang diselamatkan bukan mangsa pemerdagangan manusia tetapi direka cipta sendiri oleh mangsa untuk diselamatkan.
Menurutnya, pihak berkuasa Kemboja kecewa dengan sesetengah media dan NGO negara ini yang melaporkan fakta tidak benar termasuk mendakwa mereka didera, dicederakan dan dipaksa makan daging babi dan tikus.
Pihak berkuasa Kemboja memohon maklumat penyelamatan mangsa perlu disalurkan melalui Kedutaan Malaysia atau PDRM kepada pihak berkuasa negara itu bagi mengelak maklumat tidak benar dan mengganggu siasatan.
"Pihak berkuasa Kemboja turut memaklumkan sesetengah dakwaan mengenai keadaan mangsa yang dilaporkan NGO di Malaysia adalah tidak berasas dan terdapat mangsa yang berhutang ahlong akibat berjudi dan akhirnya meminta bantuan untuk diselamatkan," katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Protokol dan Kaunselor Kementerian Luar, Mohd Aini Atan.
Hasil rundingan delegasi Malaysia itu berjaya menyelamatkan dan membawa pulang lima rakyat Malaysia sindiket penipuan kerja berusia antara 16 hingga 42 tahun.
Mengulas lanjut, Abd Jalil berkata, hingga semalam PDRM menerima 262 laporan polis membabitkan 330 mangsa yang terkandas di luar negara akibat sindiket penipuan pekerjaan dan daripada jumlah itu 218 mangsa berjaya diselamatkan dan terdapat 113 mangsa masih terkandas di luar negara seperti di Kemboja, Mynmar, Laos dan lain-lain.
Bagi tempoh sama di Kemboja terdapat 114 laporan polis membabitkan 145 mangsa dan dari jumlah itu seramai 116 berjaya diselamatkan dan 29 masih terkandas di negara itu.
Katanya, polis tidak menolak kemungkinan terdapat NGO yang mengambil kesempatan terhadap keluarga untuk membawa pulang mangsa yang terperangkap di luar negara melalui video penderaan bagi menakutkan mereka.
"Polis akan menjalankan siasatan berhubung perkara ini dan pada masa sama tidak menafikan terdapatNGO yang bersifat ikhlas membantu," katanya.
Abd Jalil berkata, terdapat juga mangsa yang bekerja dengan sindiket scammer namun tidak mencapai sasaran ditetapkan syarikat termasuk yang tinggal di hotel dan tidak mampu membayar sewa lalu meminta bantuan untuk diselamatkan.
Katanya, lima tujuan utama lawatan itu diadakan seperti memohon pihak berkuasa Kemboja mempercepatkan proses penghantaran pulang mangsa yang berjaya diselamatkan dan menyelamat mangsa yang masih terkandas.