Jumaat, 27 Januari 2023 | 4:22pm
Jemaah umrah di Makkah. - Foto hiasan
Jemaah umrah di Makkah. - Foto hiasan

Permintaan tinggi antara faktor kos umrah naik - MATTA

KUALA LUMPUR: Permintaan tinggi untuk mengerjakan umrah antara faktor yang menyumbang kepada kenaikan kos umrah ketika ini.

Ahli Exco Hal Ehwal Antarabangsa Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Hamzah Rahmat, berkata pihaknya juga melihat kenaikan kos umrah disebabkan pasaran yang dibuka secara tiba-tiba dan semua berpusu-pusu untuk menunaikan umrah.

"Kenaikan pakej umrah sekarang juga bukan hanya disebabkan harga hotel yang dinaikkan di Arab Saudi terutama di Tanah Suci, malah kita jangan lupa sempadan yang sudah dibuka dan kita tengok jumlah rakyat Malaysia yang ingin mengerjakan umrah naik berlipat kali ganda.

"Memang ada beberapa penyedia hotel di sana menaikkan harga penginapan tetapi ia bermusim, jadi apabila permintaan tinggi sudah pasti harga juga naik dan ini normal dalam perniagaan. Ia berlaku di mana-mana saja bukan hanya di Malaysia.

"Sama juga ketika musim haji, Tabung Haji akan memajak bangunan di sana terlebih dahulu untuk mendapatkan harga berpatutan dan sama juga pada musim Piala Dunia, tiket penerbangan, hotel semua akan naik kerana permintaan yang tinggi.

"Industri pelancongan adalah industri perdagangan bebas dan ini adalah pasaran terbuka, sesiapa yang sanggup untuk beli pada harga ditawarkan mereka akan beli dan jika agensi meletakkan harga pakej terlalu tinggi, tiada sesiapa yang dapat beli sudah pasti ejen itu akan rugi.

"Konsumer mempunyai pilihan dan sekarang tiada kawalan harga untuk kenaikan (umrah), malah bekalan pasaran memang seperti itu bila ada permintaan mendadak harga akan naik dan bila tiada permintaan harga akan turun," katanya pada taklimat MATTA di sini, hari ini.

Menurutnya, MATTA juga akan terus memantau dan menjalin kerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan penjualan pakej umrah kekal berpatutan.

Ditanya adakah agensi pelancongan termasuk umrah boleh menjual tiket penerbangan kepada pihak lain termasuk pelancong dari negara lain, beliau berkata, dalam pasaran terbuka sesiapa saja boleh membuat jual beli selagi ada permintaan dan ia tiada had atau kekangan sama ada dari Indonesia, Kemboja, Thailand mahupun Brunei.

"Malaysia juga boleh beli dari Indonesia jika mereka mahu dan agensi pelancongan terbabit secara dasarnya hanya melaksanakan perniagaan mereka.

"Mereka beli tiket penerbangan dalam kuantiti yang besar dan menjualnya semula bagi menjana kembali pelaburan. Siapa ingin beli, dia akan beli," katanya.

Sementara itu, Bendahari MATTA, Nigel Wong berkata, pelanggan juga perlu memainkan peranan dengan melaporkan kepada pihak berkaitan jika terdapat sebarang isu berkaitan pakej umrah ketika ini.

"Pelanggan mempunyai kuasa untuk melaporkan kepada pihak berkuasa jika mendapati pakej umrah ketika ini mahal dan tidak adil," katanya.

Berita Harian X