Jumaat, 27 Januari 2023 | 4:20pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Pembersihan dalam UMNO bukan hanya sekadar pecat ahli - penganalisis

KUALA LUMPUR: Pembersihan besar-besaran yang bakal dilakukan UMNO bagi menyingkirkan puak yang mensabotaj parti sepatutnya tidak hanya tertumpu kepada pemecatan ahli semata-mata.

Penganalisis politik berpandangan pemecatan adalah usaha terakhir yang membabitkan kesalahan yang jelas dan nyata menunjukkan pengkhianatan terhadap parti.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Rusdi Omar, berkata pemecatan adalah langkah yang bakal memberikan impak negatif kepada UMNO jika hanya kesalahan dilakukan kerana mengkritik kepemimpinan parti.

"Saya kurang setuju tindakan pembersihan ini membabitkan pemecatan pemimpin dan ahli parti, nampak kurang sesuai dilaksanakan sekarang tambahan pula parti akan berhadapan pemilihan dan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dalam tahun ini," katanya kepada BH.

Beliau mengulas langkah UMNO yang mahu mengadakan pembersihan besar-besaran terhadap mereka yang mensabotaj parti dan calon pada pilihan raya umum lalu.

Semalam, kenyataan itu yang secara tidak langsung memberi isyarat beberapa pemimpin bakal disingkirkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, malam ini.

Pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) yang lalu melalui usul tambahan diluluskan supaya tidak ada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi parti, iaitu Presiden dan Timbalan Presiden.

Rusdi mencadangkan kepemimpinan UMNO mengadakan pertemuan dan perbincangan secara bersemuka dengan kelompok yang kini menggunakan media sosial dan media mengkritik pemimpin parti itu.

Katanya, pembersihan bukan tertumpu kepada penggantungan dan pemecatan saja tetapi usaha bagaimana menarik kembali sokongan kumpulan yang kini berbeza pandangan.

"Adalah lebih baik kepemimpinan UMNO melantik mereka yang lantang ini dalam barisan kepimpinan supaya mereka bergerak ke hadapan dan tidak lagi bergaduh sesama sendiri," katanya.

Beliau turut menempelak tindakan beberapa tokoh dalam parti itu yang masih tidak berhenti mengkritik dengan keras kepemimpinan parti.

"Jika mereka berjiwa besar, gunakan saluran parti untuk bangkitkan rasa ketidakpuasan hati itu dan saya pasti sebagai bekas pemimpin sudah tentu mereka faham proses berkenaan," katanya

Beliau juga menyarankan keputusan parti berhubung tiadanya pertandingan dua jawatan tertinggi parti itu diterima semua pihak kerana diputuskan dalam badan tertinggi parti iaitu Perhimpunan Agung UMNO.

"Kelompok yang tidak puas hati dengan perkara ini kena bermuhasabah diri dan apa yang berlaku perlu diperbaiki dan jangan mengeruhkan kepemimpinan parti sedia ada.

"Perlu difahami, UMNO kini dalam kedudukan yang tidak sama ketika zaman kegemilangannya, jadi keharmonian dan kesepakatan sangat diperlukan kini," katanya.

Berita Harian X