KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa mengambil pendekatan bertegas supaya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi direhatkan daripada tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi memberi fokus kepada proses perbicaraan mahkamah, seterusnya membuktikan beliau tidak bersalah terhadap 47 pertuduhan yang disabitkan.
Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata tindakan itu bagi menjamin sistem kehakiman negara yang bebas dan adil, selain menjamin perbicaraan yang telus tanpa sebarang campur tangan dan penangguhan kes.
"Permohonan menggunakan alasan kepentingan negara dilihat memberi tekanan kepada pihak mahkamah dan hakim selain akan mengganggu proses perbicaraan.
"Walaupun ia menjadi kuasa mutlak hakim untuk memulangkan pasport berkenaan, namun bidang tugas yang dipegang Ahmad Zahid dalam pentadbiran kerajaan ketika ini, akan memberi kesan kepada kuasa bidang kehakiman untuk menjamin perbicaraan yang efisyen, lancar serta tanpa penangguhan.
"Pemulangan pasport berkenaan pastinya akan menyebabkan lebih banyak kelewatan dalam proses perbicaraan dengan pelbagai alasan urusan tugas, seterusnya akan mengambil masa yang lebih lama untuk diselesaikan," katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memohon Mahkamah Tinggi mengembalikan pasport antarabangsa miliknya secara kekal secepat mungkin, bagi membolehkan beliau menjalankan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri dengan lancar.
Menurut Ahmad Zahid, beliau membuat permohonan itu dengan niat baik (bona fide) yang hanya bertujuan memohon kebenaran bagi pelepasan pasport antarabangsa supaya dapat menjalankan tugas rasmi.
Pasport itu sebelum ini diserahkan dan berada dalam simpanan mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan, selepas beliau didakwa dengan 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang kini dalam peringkat bela diri.
Ahmad Faizal berkata, hakikatnya, pentadbiran negara mempunyai Timbalan Perdana Menteri yang masih berdepan perbicaraan 47 pertuduhan di mahkamah ketika ini.
"Ia juga perlu dilihat sebagai perosak kepada komposisi Jemaah Menteri serta kerajaan secara keseluruhan.
"Malah ia adalah satu penghinaan kepada majoriti pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15, yang mengharapkan sebuah kerajaan bersih, telus dan berintegriti," katanya.