Jumaat, 27 Januari 2023 | 12:40pm
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

'Saya tidak akan campuri siasatan'

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan untuk tidak mencampuri siasatan kes membabitkan pembantu Ahli Parlimen Bentong, Noor Suhana Ishak dan Setiausaha Akhbar Menteri Ekonomi, Farhan Iqbal.

Beliau yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, soal itu diserahkan polis bagi menjalankan siasatan lanjut.

"Saya serahkan kepada kebijaksanaan polis untuk menggunakan undang-undang yang mereka rasakan bersesuaian.

"Biar siasatan lanjut dilakukan pihak berkuasa dan saya tidak berhajat untuk mencampuri perkara itu," katanya pada sidang media selepas Amanat Tahun Baharu Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Semalam, Noor Suhana dan Farhan dipanggil polis bagi membantu siasatan berkaitan hantaran di media sosial Twitter yang mendakwa Pemuda UMNO mengganggu ceramah Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

Noor Suhana berkata, dia dipanggil untuk dirakam keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, manakala Farhan di IPD Putrajaya hari yang sama.

Pada 17 Oktober tahun lalu, media melaporkan ceramah MUDA dicemari insiden provokasi sekumpulan lelaki berbaju hitam dalam kejadian di Muar, Johor.

Dua klip video tular masing-masing berdurasi satu minit 31 saat dan 45 saat memperlihatkan sekumpulan lelaki bermotosikal yang mengganggu ceramah MUDA.

Bagaimanapun, keadaan terkawal dengan kehadiran anggota polis.

Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaafkan sekumpulan anak muda yang cuba menimbulkan provokasi semasa ceramahnya itu.

Dalam satu hantaran di Facebook, Syed Saddiq menyatakan bahawa kumpulan itu bukan musuhnya.

Berita Harian X