KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang diadakan malam ini, menjadi tumpuan ramai berikutan beberapa keputusan besar dijangka dibuat termasuk mengenai tarikh pemilihan, selain menentukan nasib beberapa pemimpin yang dikaitkan dengan tindakan sabotaj dan mengkritik kepemimpinan parti.
Berdasarkan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam, mesyuarat MKT malam ini, akan melakukan pembersihan secara besar-besaran, yang secara tidak langsung memberi isyarat beberapa pemimpin bakal disingkirkan.
Nasib bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dijangka akan diketahui malam ini berikutan tindak tanduknya yang didakwa melanggar disiplin parti berikutan kelantangannya mengkritik pemimpin parti.
Khairy, yang juga bekas Menteri Kesihatan sebelum ini, secara terbuka 'mengkritik' beberapa pemimpin UMNO, selain lantang bersuara supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan bagi memastikan amalan demokrasi tidak terkubur dalam parti itu.
Bekas calon Barisan Nasional (BN) yang tewas bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Parlimen Sungai Buloh pada November lalu, secara terbuka turut memaklumkan mahu 'membersihkan' UMNO jika menang di kerusi itu.
Bekas Ketua Pemuda UMNO itu juga menarik perhatian pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) baru-baru ini apabila mendakwa terdapat 'perwakilan import' ketika proses pengundian usul tambahan tiada pertandingan Presiden dan Timbalan Presiden, yang mana ia dinafikan oleh pimpinan parti berkenaan.
Selain Khairy, dipercayai nasib bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan beberapa pemimpin UMNO Tanjong Karang diketahui, malam ini.
Noh dan pemimpin UMNO Bahagian Tanjong Karang pula didakwa terbabit dalam mensabotaj parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu.
Pada PAU 2022 lalu, Noh juga lantang mengkritik parti selepas pemimpin Kelab UMNO Luar Negara dikatakan dihalang berbahas kerana ada kecenderungan mengkritik presiden parti dan tidak setuju dengan usul tiada pertandingan membabitkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.
Seperti disahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, semalam, mesyuarat MKT juga akan memutuskan tarikh pemilihan parti, termasuk bagi jawatan tertingginya.
Beliau berkata, ia membabitkan pemilihan parti di peringkat cawangan dan bahagian, yang dijangka diadakan serentak bagi 191 bahagian seluruh negara, termasuk untuk memilih pucuk pimpinan tertingginya.
Untuk rekod, seperti diputuskan melalui usul tambahan pada PAU 2022, dua jawatan tertinggi parti tidak akan dipertandingkan.