PUTRAJAYA: Segelintir agensi pengambilan pekerja asing dikesan memonopoli pengambilan pekerja asing menerusi sistem digital, dengan bantuan sindiket dari negara sumber.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA), Dr Sukumaran Nair ketika mendedahkan perkara itu, berkata sindiket daripada agensi pekerjaan itu dipercayai mengeksploitasi kemasukan pekerja asing, khususnya dari Bangladesh.
Katanya, walaupun ribuan kelulusan pengambilan diberikan, jumlah pekerja yang tiba di negara ini adalah begitu rendah.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mengambil alih operasi sistem digital dan memperincikan struktur proses pengambilan pekerja asing serta-merta.
"Kerajaan juga perlu manamatkan dasar merekrut segolongan agensi pekerja asing dari negara sumber terbabit kerana ia tidak dijalankan secara teratur mengikut lunas dasar kerajaan sedia ada," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sukumaran berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan kerajaan dalam membendung sebarang aktiviti melanggar undang-undang dalam proses pengambilan pekerja asing ke negara ini.
Katanya, PAPSMA berharap penstrukturan semula sistem pengambilan pekerja asing mampu menangani sebarang unsur salah guna kuasa dan penyelewengan termasuk, tindakan monopoli golongan tertentu.
"Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia diminta memandang serius etika dan dasar sedang dipraktikkan pada masa ini dalam pengambilan pekerja asing.
"Ini dapat menghindarkan mana-mana negara asing yang tidak berkaitan untuk tidak mengganggu proses dan protokol negara kita yang kini terjerumus di kategori Tahap Ketiga bawah Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam sektor pengambilan pekerja asing global," katanya.
Pada masa sama, Sukumaran berkata, PAPSMA menyokong tindakan kerajaan yang giat melaksanakan proses untuk memudahkan pengambilan pekerja asing dalam memenuhi keperluan pelbagai sektor.
"Kami menyambut baik keputusan Jabatan Imigresen meneruskan program rekalibrasi yang mana membolehkan pekerja asing sedia ada dalam negara boleh terus diambil bekerja dengan mematuhi syarat ditetapkan," katanya.