Khamis, 26 Januari 2023 | 10:02pm
Keadaan salah sebuah rumah penduduk yang dilanda banjir berikutan hujan lebat yang beterusan di Jalan Jabi-Bukit Tempurung, Segamat, Johor. - Foto BERNAMA
Keadaan salah sebuah rumah penduduk yang dilanda banjir berikutan hujan lebat yang beterusan di Jalan Jabi-Bukit Tempurung, Segamat, Johor. - Foto BERNAMA

Polis guna helikopter hantar makanan kepada mangsa banjir di Kahang

KLUANG: Polis menggerakkan dua aset helikopternya hari ini bagi menghantar empat tan bekalan makanan kepada mangsa banjir yang terputus hubungan darat di Kahang.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrain Md Nor, berkata penerbangan pertama dilakukan ke Kampung Orang Asli Sedohok dan Kampung Orang Asli Pangkalan Tereh.

Sementara penerbangan kedua dilakukan menuju Ladang Kelapa Sawit Selai dan Ladang Kelapa Sawit Enggang di sini.

"Penerbangan menggunakan helikopter Agusta Westland (AW139) dikendalikan oleh Superintendan Mohd Fairuz Jamil (Juruterbang) dan Asisten Superintendan Shahrizat Shahrudin (Pembantu Juruterbang) dari Pasukan Gerakan Udara Pangkalan Semenanjung PDRM.

"Antara barangan yang dihantar ialah beras, air mineral dan gula yanhg dijangka dapat bertahan untuk empat hingga lima hari," katanya pada sidang akhbar di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kahang, hari ini.

Bahrin berkata, penghantaran itu bagi menampung keperluan kira-kira 900 mangsa banjir termasuk 240 keluarga Orang Asli di situ.

"Penerbangan pertama helikopter berlepas kira-kira jam 6 petang dan kita akan menghantar bekalan makanan melalui dua trip," katanya.

Katanya, bagi penduduk di perkampungan Orang Asli Peroh dan Pucur, penghantaran akan dilakukan melalui laluan sungai dalam masa terdekat.

Terdahulu, lebih 2,000 penduduk dari 14 ladang dan enam perkampungan Orang Asli sekitar Kahang terputus hubungan darat akibat kejadian bencana banjir di negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata pihaknya akan menggembeleng usaha memberi bantuan makanan termasuk menggunakan helikopter ke kawasan terjejas jika keadaan memerlukan.

Berita Harian X