KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Lembaga Tabung Haji (TH) akan berbincang secara terus dengan pengendali hotel di Arab Saudi dalam masa terdekat bagi mengatasi isu kenaikan kos menunaikan haji tahun ini.
Pada masa sama, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) disaran berunding terus dengan pengendali hotel di Makkah dan Madinah untuk mencari penyelesaian terhadap isu peningkatan mendadak kos menunaikan umrah yang membelenggu jemaah Malaysia ketika ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata rundingan secara terus perlu dilakukan dengan pihak industri kerana kenaikan kos mengerjakan haji dan umrah ketika ini berada di luar kawalan kerajaan Arab Saudi.
Sehubungan itu, pihaknya dan TH akan mengambil inisiatif itu secepat mungkin untuk berbincang mengenai kos haji, manakala MOTAC turut disaran berbuat demikian kerana hal ehwal umrah adalah di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan.
"Dalam konteks kenaikan kos mengerjakan haji, TH dan saya telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
"Semasa bertemu Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah baru-baru ini, saya ada tanya mengenai ini, namun beliau maklumkan ia di luar kawalannya dan kena tanya terus pemilik hotel di sana.
"Jadi untuk isu haji, kita akan mengadakan rundingan dengan pemilik hotel di sana untuk kawal dan kurangkan kos mengerjakan haji.
"Kita harap dalam isu umrah, MOTAC juga mungkin boleh mengadakan rundingan yang sama untuk melihat bagaimana kos mengerjakan umrah dapat dikurangkan," katanya pada sidang media Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat 2022 di Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dan Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai isu peningkatan kos mengerjakan umrah dan haji yang dilaporkan media ketika ini, berikutan kenaikan ketara sewa hotel dan harga tiket penerbangan.
Sebelum ini, media melaporkan kos menunaikan haji secara muassasah tahun ini dijangka meningkat kepada lebih RM31,000, peningkatan kira-kira RM2,368 berbanding RM28,632 kos sebenar setiap jemaah pada musim lalu.
Kelmarin, BH melaporkan kebanyakan agensi pelancongan di Malaysia sedang meneliti semula pakej umrah sekitar RM7,890 yang ditawarkan ketika ini dengan jangkaan terpaksa menaikkan harganya sehingga sekitar RM10,000 bagi setiap jemaah, berikutan kenaikan mendadak pelbagai kos di Makkah dan Madinah, terutama bayaran penginapan dan makanan, selain kos penerbangan ke Jeddah di Arab Saudi.
Hari ini, BH melaporkan sesetengah agensi umrah di negara ini didakwa membolot tiket penerbangan disediakan syarikat penerbangan tempatan untuk ke Tanah Suci, yang menjadi antara punca kenaikan mendadak kos mengerjakan umrah kebelakangan ini.
Perkara itu didedahkan Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, yang memaklumkan mengikut harga semasa, tiket penerbangan umrah hanya sekitar RM2,700 hingga RM2,800, tetapi dijual semula oleh agensi terbabit sekitar RM4,800 hingga RM5,000.
Menurut Razali, monopoli tiket itu turut menyebabkan beberapa syarikat penerbangan antarabangsa bertindak menaikkan harga tiket penerbangan masing-masing ke Tanah Suci berikutan permintaan yang tinggi.