PUTRAJAYA: Jumlah kutipan zakat di Wilayah Persekutuan sepanjang tahun lalu mencecah lebih RM937 juta, dengan Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyasarkan kutipan zakat lebih RM1 bilion sepanjang tahun ini.
Daripada jumlah itu, MAIWP sudah mengagihkan RM855,519,208.03 atau lebih 91 peratus hasil kutipan zakat berkenaan kepada golongan asnaf.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata sejumlah RM937,036,444.09 kutipan zakat direkodkan tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 13 peratus berbanding RM828,670,791.16 yang dikutip pada 2021.
Katanya, jumlah itu merangkumi kutipan zakat harta sebanyak RM923,284,151.65, manakala bayaran zakat fitrah yang diterima PPZ-MAIWP dan MAIWP adalah sebanyak RM13,752,292.44.
"Jumlah pembayar zakat harta adalah seramai 240,630 individu, manakala bagi zakat fitrah pula seramai 1,592,134 individu.
"Ini menjadikan keseluruhan pembayar zakat di Wilayah Persekutuan meningkat sebanyak 17 peratus kepada 1,832,764 orang berbanding pada 2021 iaitu seramai 1,566,171 orang," katanya pada sidang media Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat 2022 di Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dan Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman.
Mengulas lanjut, Mohd Na'im memaklumkan, zakat pendapatan penyumbang tertinggi kepada kutipan zakat di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan tahun lalu dengan RM631 juta bersamaan 67 peratus kutipan keseluruhan, disusuli zakat (RM139 juta atau 15 peratus) serta zakat wang simpanan, emas, saham, fitrah dan lain-lain yang menyumbang 18 peratus.
Katanya, antara faktor peningkatan kutipan zakat itu termasuklah dakwah dan promosi secara berterusan oleh PPZ-MAIWP dan kepelbagaian saluran pembayaran, selain pelbagai program agihan zakat yang berjaya mencetus keyakinan pembayar dan bakal pembayar zakat kepada PPZ-MAIWP.
Berhubung agihan zakat tahun lalu, Mohd Na'im berkata, lebih RM855 juta dana zakat sudah diagihkan kepada 220,769 asnaf dalam bentuk Skim Bantuan Zakat, Al-Wakalah, Institusi Pendidikan dan Kebajikan, prasarana umat Islam serta belanja penyelenggaraan prasarana dan amil.
"Antara inisiatif dilaksanakan MAIWP sepanjang tahun lalu ialah Program Agropreneur MAIWP membabitkan penanaman cili berskala besar membabitkan 10 asnaf; Program Laman Cendawan Asnaf (15 asnaf); Program Bijaktani Hidroponik Asnaf dan Program Bijaktani Hidroponik Asnaf di enam Program Perumahan Rakyat (PPR) membabitkan 180 asnaf," katanya.
Mohd Na'im berkata, MAIWP juga menjalin kerjasama dengan insitusi kemahiran dan pemain industri untuk memberi pendidikan dan kemahiran kepada 351 anak golongan asnaf menerusi program latihan industri minyak dan gas, kimpalan, pengendalian jentera berat, pesawat dan lain-lain, membabitkan peruntukan RM4.3 juta.
"Menerusi program ini, anak-anak asnaf diberikan jaminan kerjaya dengan gaji permulaan sehingga RM1,800 apabila mereka menamatkan latihan kelak," katanya.
Menyentuh sasaran kutipan zakat tahun ini, Mohd Na'im memaklumkan PPZ-MAIWP menyasarkan peningkatan kutipan keseluruhan kepada RM1.02 bilion membabitkan 1,907,100 pembayar zakat.
"PPZ-MAIWP menyasarkan kutipan RM1 bilion daripada 268,100 pembayar zakat harta, RM13.8 juta daripada 1,597,000 pembayar zakat fitrah, dan RM12.6 juta daripada 42,000 pembayar wakaf tunai," katanya.