Rabu, 25 Januari 2023 | 8:49pm
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mempengerusikan mesyuarat menyelesaikan isu Imigresen bersama pegawai kanan KDN - Foto Twitter Menteri Dalam Negeri
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mempengerusikan mesyuarat menyelesaikan isu Imigresen bersama pegawai kanan KDN - Foto Twitter Menteri Dalam Negeri

Imigresen lancar janji temu dalam talian buat pasport bagi atasi kesesakan

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen akan menambah baik sistem temujanji dalam talian bagi permohonan pasport, yang akan turut disertakan terus tarikh, masa janji temu dan nombor giliran kepada pemohon.

Ia adalah antara langkah awal yang akan dilaksanakan jabatan bagi mengatasi isu kesesakan di kaunter pasport Jabatan Imigresen, yang sering mendapat rungutan daripada orang ramai.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata keputusan itu dibuat selepas mesyuarat khas yang diadakan beliau bersama Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan pengurusan tertinggi KDN serta jabatan berkenaan hari ini.

Selain itu, Saifuddin berkata, jumlah mesin pencetak pasport akan ditambah di pejabat pasport yang sesak dan mempunyai kadar pengunjung yang tinggi.

"Pejabat pasport Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) turut beroperasi sebagai Pejabat Pengeluar Pasport bagi kes segera dan kecemasan, selain permohonan biasa.

"Pada masa sama, sebanyak 20 Pejabat Pengeluar Pasport, selain Pusat Transformasi Bandar (UTC) akan beroperasi tujuh hari seminggu bermula 27 Januari 2023," kata beliau dalam hantaran Twitter hari ini.

Sementara itu, Saifuddin memaklumkan, beberapa langkah segera turut diambil bagi mengatasi isu pelawat asing beratur panjang di KLIA, yang didapati berpunca daripada ketibaan pesawat secara serentak, iaitu kira-kira 20 hingga 26 pesawat dalam jarak masa antara lima hingga 10 minit ketika waktu puncak.

Katanya, kesesakan itu turut dikaitkan dengan pemeriksaan mengikut prosedur bagi memastikan pelancong asing tulen yang memenuhi syarat Pas Lawatan Sosial saja dibenarkan masuk.

"Bagi mengatasi isu ini, beberapa langkah segera akan diambil, antaranya kajian perluasan penggunaan "autogate" (palang automatik) kepada pelawat dari 10 negara yang berisiko rendah dilaksanakan segera.

"Selain itu, pewujudan dua kumpulan Pasukan Tindakan Pantas (QRT) yang akan mula beroperasi pada 1 Februari 2023 bagi membantu pegawai di kaunter semasa waktu puncak," katanya.

Berita Harian X