Rabu, 25 Januari 2023 | 6:08pm
Agensi pekerja asing perlu memperincikan kos sebenar pengambilan pembantu rumah yang terkandung dalam memorandum persefahaman (MoU) supaya majikan memperoleh maklumat jelas, termasuk mengenai bayaran dan klausa perjanjian. - Foto hiasan
Agensi pekerja asing perlu memperincikan kos sebenar pengambilan pembantu rumah yang terkandung dalam memorandum persefahaman (MoU) supaya majikan memperoleh maklumat jelas, termasuk mengenai bayaran dan klausa perjanjian. - Foto hiasan

Agensi perlu memperincikan kos sebenar gaji amah asing

KUALA LUMPUR: Agensi pekerja asing perlu memperincikan kos sebenar pengambilan pembantu rumah yang terkandung dalam memorandum persefahaman (MoU) supaya majikan memperoleh maklumat jelas, termasuk mengenai bayaran dan klausa perjanjian.

Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein, berkata kos yang dikenakan oleh agensi terbabit ketika ini sangat tinggi, jika dibandingkan dengan kos yang digunakan oleh kerajaan menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0.

"Kita tahu mereka menjalankan perniagaan tapi caj yang dikenakan perlu masuk akal, jangan sampai melambung tinggi harganya.

"Kalau diikutkan, kos yang dikenakan di Jabatan Imigresen Malaysia tidak sampai RM4,000. Begitu juga dengan kos lain seperti yang dikenakan oleh Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) dan sebagainya," katanya kepada BH.

Engku Ahmad berkata, jika kos yang dikenakan itu dapat menjamin pembantu rumah yang dibawa masuk sudah ditapis dan tidak akan menimbulkan sebarang masalah, mungkin kos tinggi yang dikenakan tidak menjadi satu isu.

Namun, hakikatnya, beliau berkata, pelbagai masalah timbul membabitkan pembantu rumah, yang menjejaskan kebajikan majikan dan keluarga mereka.

"Macam-macam masalah berlaku seperti pembantu rumah melarikan diri, dera anak majikan, mencuri dan sebagainya.

"Untuk apa keluarkan kos yang banyak tetapi tiada jaminan bahawa pembantu rumah ini akan berkelakuan baik dan tidak akan menimbulkan sebarang masalah.

"Jadi, kita kena kaji semula kos sebenar yang diperlukan melalui proses pengambilan pembantu rumah menerusi agensi ini," katanya.

Selain itu, Engku Ahmad Fauzi berkata, kerajaan dan semua piha berkaitan perlu meningkatkan mekanisme dan melakukan tindakan kawalan bersama bagi mengelakkan pembantu rumah melarikan diri.

Katanya, hanya ada dua faktor yang menyebabkan pembantu rumah bertindak sedemikian iaitu kerana mereka memang ingin melarikan diri dan kedua, mungkin kerana mereka didera majikan.

Berita Harian X