Selasa, 24 Januari 2023 | 5:35pm

Banjir Johor kian buruk, mangsa melonjak ke 1,093

JOHOR BAHRU: Banjir di negeri ini semakin buruk dengan jumlah mangsa melonjak kepada 1,093 daripada 198 keluarga dan ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah setakat jam 4 petang tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), berkata jumlah itu meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh dua jam, yang mana pada jam 2 petang tadi hanya 422 mangsa ditempatkan di lapan PPS.

Beliau berkata Segamat mencatat mangsa banjir paling ramai iaitu 975 orang daripada 273 keluarga di lapan PPS.

Lapan PPS dibuka di Segamat adalah Dewan Serbaguna Pekan Air Panas membabitkan 104 mangsa, Dewan Kampung Sungai Gatom Labis (59) dan Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah (68).

"Lima lagi PPS di Segamat adalah Dewan Serbaguna Kampung Orang Asli Segamat Kecil yang menempatkan 123 mangsa, Balairaya Kampung Seberang Batu Badak (17), Sekolah Kebangsaan Kampung Tenang Labis (477), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Ai Chun (72) dan Balairaya Kampung Usaha Jaya (55)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hujan sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan di di Bandar Penawar dan Taman Desaru Utama, Kota Tinggi, Johor dinaiki air. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Hujan sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan di di Bandar Penawar dan Taman Desaru Utama, Kota Tinggi, Johor dinaiki air. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Dalam pada itu, Azmi berkata Kluang turut mencatat penambahan dua PPS baharu menjadikan empat PPS dibuka di daerah itu.

Ia membabitkan Sekolah Agama Seri Tengah 1 dengan 36 mangsa dan Kampung GSA Chamek (empat), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana (lapan) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Ping Ming (27).

"Manakala di Kota Tinggi pula, satu PPS dibuka di Dewan Kampung Baru Sungai Mas dengan 43 penduduk Kampung Baru Sungai Mas membabitkan enam keluarga dipindahkan ke dewan itu," katanya.

Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkenaan Monsun Timur Laut (MTL), Johor diramalkan antara negeri yang terus berada dalam amaran bahaya sehingga esok.

Hujan berterusan sejak awal pagi tadi tidak menunjukkan tanda akan reda dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, tiga sungai di Segamat terus melebihi paras bahaya atau merah, iaitu Sungai Gemas (19.04 meter), Sungai Lenik (6.40 meter) dan Sungai Segamat (37.97 meter).

Selain itu, Sungai Kahang di Kluang turut mencatatkan di atas paras bahaya dengan catatan 14.41 meter.

Dua lagi sungai di Segamat menghampiri paras bahaya iaitu Sungai Muar (19.76 meter) dan Sungai Labis (40.53 meter).

Keadaan banjir akibat hujan sejak semalam di Bandar Penawar dan Taman Desaru Utama, Kota Tinggi, Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Berita Harian X