KUCHING: Seekor anak ikan paus ditemui terdampar di pantai di Kuala Baram, Miri, dipercayai selepas terpisah dengan kumpulannya, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kejadian jam 12 tengah hari.
Sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong diarah ke lokasi di Kampung Nelayan, Batu 4, Kuala Baram, bagi melaksanakan operasi khidmat khas.
"Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati seekor anak ikan paus dengan anggaran empat meter panjang terdampar di pantai.
"Operasi menyelamat dijalankan pasukan bomba yang turut dibantu orang awam dengan menolak anak paus itu ke kawasan yang lebih dalam bagi memudahkannya untuk berenang ke laut," katanya.
Menurutnya usaha itu berjaya dan mamalia marin itu kembali semula ke tengah laut.
Kejadian paus terdampar di pantai pernah berlaku di Miri khususnya di pantai Kuala Baram sejak tahun 1980-an lagi.