Selasa, 24 Januari 2023 | 3:20pm
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor

Kedah umum cuti peristiwa 5 Februari sempena Thaipusam

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah meluluskan pemberian cuti peristiwa pada 5 Februari ini bersempena sambutan Thaipusam.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata kelulusan itu dipersetujui dalam mesyuarat EXCO 18 Januari lalu.

"Pemberian cuti peristiwa ini adalah bertujuan untuk memberikan kemudahan kepada penganut Hindu di negeri ini meraikan hari kebesaran agama mereka bersama keluarga.

"Kepada yang bukan beragama Hindu, pemberian cuti peristiwa ini juga diharap dapat memberikan mereka manfaat yang sebaik-baiknya memandangkan ia jatuh pada Ahad yang berturutan dengan cuti mingguan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Isu cuti peristiwa sempena perayaan Thaipusam di Kedah hangat diperdebatkan pada awal 2021 apabila kerajaan negeri memutuskan tiada cuti peristiwa untuk perayaan itu.

Pada waktu itu Muhammad Sanusi menegaskan bahawa keputusan kerajaan negeri bukan bertujuan untuk menafikan hak penganut Hindu sebaliknya rakyat sememangnya telah pun 'dicutikan' oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berita Harian X