Selasa, 24 Januari 2023 | 2:08pm
PPS di SMK Seri Perdana, Kluang dibuka jam 11.40 pagi tadi akibat banjir di Kampung Yap Tau Sah. - Foto NSTP/Ihsan Bomba
PPS di SMK Seri Perdana, Kluang dibuka jam 11.40 pagi tadi akibat banjir di Kampung Yap Tau Sah. - Foto NSTP/Ihsan Bomba

Enam PPS dibuka di Johor

JOHOR BAHRU: Enam pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di tiga daerah setakat jam 1 tengah hari tadi, berikutan berlakunya banjir di beberapa kawasan dalam negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata semua PPS di Kluang, Kota Tinggi dan Segamat itu kini menempatkan 298 mangsa daripada 74 keluarga yang membabitkan enam kawasan terjejas.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, semua PPS itu mula dibuka antara jam 11 pagi hingga 12 tengah hari.

"Dua PPS dibuka di Kluang iaitu PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana yang menempatkan lapan mangsa dari Kampung Yap Tau Sah membabitkan tiga keluarga, diikuti PPS Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Ping Ming yang menempatkan 18 penduduk Kampung Palembang daripada enam keluarga.

"Di Kota Tinggi pula, satu PPS dibuka di Dewan Kampung Baru Sungai Mas dengan 41 mangsa dari Kampung Baru Sungai Mas yang membabitkan enam keluarga dipindahkan ke dewan itu," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, di Segamat pula, seramai 104 penduduk Kampung Pekan Air Panas yang membabitkan 26 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Pekan Air Panas, manakala 68 penduduk Kampung Paya Merah daripada 19 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah.

"Sebuah lagi PPS di Segamat iaitu di PPS Dewan Kampung Sungai Gatom yang kini menempatkan 59 penduduk daripada 14 keluarga yang terjejas di kampung berkenaan," katanya.

Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia berkenaan Monsun Timur Laut (MTL), Johor antara yang berada dalam amaran bahaya dan buruk sehingga esok.

Dilaporkan, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru berada dalam amaran bahaya yang mana dijangka menerima hujan yang sangat lebat secara berterusan.

Segamat, Batu Pahat dan Pontian pula diberikan amaran buruk iaitu hujan lebat berterusan dijangka berlaku.

Bagaimanapun, sehingga jam 12 tengah hari tadi, semua daerah di Johor kini sedang mengalami hujan.

Berita Harian X