JOHOR BAHRU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Johor menyenaraikan 432 'hotspot' kawasan banjir di negeri ini susulan amaran hujan berterusan tahap bahaya yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) terhadap Johor, semalam.
Sehubungan itu, Pengarah APM Johor, Penolong Pesuruhjaya Kamal Mokhtar, berkata seramai 1,000 anggotanya di negeri ini sudah diarahkan bersiap siaga terhadap kemungkinan banjir susulan amaran hujan berterusan tahap merah (bahaya) bermula kelmarin hingga esok.
Katanya, orang ramai boleh merujuk laman Facebook Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Johor bagi melihat senarai kawasan 432 'hotspot' atau titik panas banjir itu di 10 daerah negeri ini sebagai persediaan berhadapan apa jua kemungkinan.
"Semua daerah dengan kawasan kediaman berdekatan sungai serta tempat rendah berisiko dinaiki air bah jika hujan lebat turun secara berterusan lagi seperti semalam.
"Banjir mungkin akan menjadi buruk apabila hujan lebat turun semasa air laut pasang tinggi.
"Setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) secara rasmi dibuka walaupun berlaku banjir kilat di Batu Pahat, Kota Tinggi, Muar, Pontian, Kluang dan Tangkak akibat hujan seharian semalam.
"APM Johor berada pada tahap kesiap siagaan tertinggi dan sentiasa peka terhadap amaran yg dikeluarkan oleh MetMalaysia dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) terhadap keadaan cuaca serta kenaikan paras air sungai serta taburan hujan yang turun di Johor," katanya.
Malam tadi, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya sehingga esok di Johor membabitkan daerah Johor Bahru, Kulai, Kota Tinggi, Kulai dan Mersing.