KUALA LUMPUR: Sebagai 'orang lama' dalam politik, Tan Sri Abdul Hadi Awang, perlu tahu sogokan kepada pengundi ketika pilihan raya adalah kesalahan.
Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN, Razeef Rakimin, berkata Presiden PAS itu sepatutnya tahu sogokan wang kepada pengundi adalah satu bentuk rasuah dan menyalahi Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
"Melalui bukti yang ada serta pengakuan Abdul Hadi berkenaan 'sedekah', saya menggesa tindakan sewajarnya kepada beliau.
"Melepaskan beliau dari kesalahan memberi wang kepada pengundi dalam tempoh pilihan raya akan dijadikan rujukan oleh pembeli undi pada pilihan raya akan datang bahawa memberikan wang kepada pengundi bukan satu kesalahan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sabtu lalu, Abdul Hadi menyifatkan pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya tidak menyalahi peraturan kerana ia hanyalah sedekah kepada pengundi oleh orang awam.
Abdul Hadi berkata demikian ketika mengulas tindakan UMNO Terengganu yang memfailkan petisyen bagi kerusi Parlimen Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman dengan alasan wujud rasuah kepada pengundi di ketiga-tiga kerusi terbabit ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Razeef turut mempersoalkan mengenai satu rakaman video yang memaparkan seorang individu mendakwa ahli PAS memberi wang kepada pengundi.
"Rakaman itu menunjukkan individu berkenaan meminta pengundi yang datang mengangkat sumpah dan menyebut 'Wallahi saya undi PAS' sebelum memberikan wang. Adakah ini salah satu rukun wajib dalam bersedekah mengikut Parti Islam Se-Malaysia?" katanya.
Malah, katanya, tindakan Abdul Hadi yang didakwa menghalalkan rasuah ketika pilihan raya akan memberi presepsi buruk terhadap agama Islam.
Pemimpin PAS itu turut didakwa menggunakan dalil untuk 'menghalalkan' perbuatan membeli undi yang dikaitkan sebagai satu sedekah.
"Abdul Hadi memang terkenal sejak dulu memetik dalil agama untuk kepentingan diri dan kumpulannya.
"Beliau sering memetik ayat suci al-Quran untuk justifikasi tindakan beliau dan ada kalanya memetik satu ayat sedangkan maksud sebenar ayat berkenaan jika dibaca dengan ayat sebelum dan selepasnya membawa cerita atau maksud lain," katanya.