Isnin, 23 Januari 2023 | 1:21pm

UMNO desak SPR, SPRM siasat video agih wang ketika PRU15

KUALA LUMPUR: UMNO menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat semua video berkaitan pemberian wang kepada pengundi yang tular di media sosial, dipercayai oleh pembangkang ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata video berkenaan jelas menggambarkan perbuatan merasuah pengundi, yang menjadi satu kesalahan di bawah Akta Pilihan Raya 1954.

"Jika ketika kempen PRU selama dua minggu itu dilaburkan segala duit, itu tidak beretika. Itu bertujuan merasuah pengundi, melainkan ia dibuat di luar kempen, yang mana ia adalah bantuan kepada yang memerlukan.

"Saya harap SPRM dan SPR meneliti betul-betul kes ini kerana ia tular melalui video yang dianggap sahih. Mereka harus melihat semua video pemberian wang di media sosial ini," katanya kepada BH, hari ini.

Pada 3 Januari lalu, UMNO Terengganu memfailkan petisyen pilihan raya di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu bagi mencabar keputusan PRU15 di tiga kerusi Parlimen iaitu Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman, yang dimenangi calon PAS, atas alasan parti lawan merasuah pengundi di ketiga-tiga Parlimen berkenaan sepanjang tempoh kempen PRU15.

Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mendakwa, PAS menabur wang antara 15 hingga 17 November lalu iaitu dua hingga empat hari sebelum PRU15, dengan kebanyakan isi rumah menerima wang antara RM500 hingga RM1,000.

Mengulas tindakan itu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Sabtu lalu, mempertahankan pengagihan wang berkenaan oleh segelintir individu, dengan mendakwa ia adalah sedekah.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kenyataan Abdul Hadi itu amat tidak wajar dan boleh menyebabkan kekeliruan dalam masyarakat.

Selain itu, beliau berkata Barisan Nasional (BN) ketika ini sudah memfailkan empat petisyen pilihan raya, iaitu Marang, Kuala Terengganu, Kemaman dan Gua Musang.

Berita Harian X