Isnin, 23 Januari 2023 | 1:19pm
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempertahankan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika PRU15 dengan mendakwa ia adalah sedekah.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempertahankan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika PRU15 dengan mendakwa ia adalah sedekah.

Takrifan 'sedekah' wang musim pilihan raya cubaan halalkan perbuatan salah - MCW

[email protected],my

KUALA LUMPUR: Perbuatan menjustifikasikan pemberian wang tunai ketika musim pilihan raya sebagai sedekah, dilihat bukan sahaja mahu menghalalkan perbuatan yang salah, tetapi menormalisasikan jenayah rasuah.

Timbalan Ketua Jawatankuasa Pemikir, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Noor Mohamad Shakil Hameed, berkata ahli politik perlu lebih cakna terhadap isu sedemikian supaya ia tidak mengelirukan masyarakat dengan mesej yang salah.

Mengakui sedekah sememangnya dituntut dalam Islam, beliau menegaskan, ia berbeza apabila diberikan pada musim pilihan raya yang tetap dilihat sebagai usaha untuk memancing undi.

"Apa pun justifikasinya, pemberian seperti ini, terutama dalam bentuk wang tunai sewaktu musim pilihan raya tetap dilihat sebagai usaha untuk memancing undi. Ada yang kata ia sedekah dan tidak salah, tapi secara logik akalnya, ia tetap perbuatan cuba membeli undi.

"Jadi, pemberian wang sewaktu musim pilihan raya wajar dilihat sebagai rasuah pilihan raya," katanya kepada BH, hari ini.

Timbalan Ketua Jawatankuasa Pemikir, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Noor Mohamad Shakil Hameed.
Timbalan Ketua Jawatankuasa Pemikir, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Noor Mohamad Shakil Hameed.

Kelmarin, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilapor mempertahankan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, mendakwa ia adalah sedekah dan hak orang awam yang ingin memberikan sumbangan.

Mengulas lanjut, Mohamad Shakil berkata, takrifan perbuatan sedemikian sebagai sedekah akan memberi mesej salah kerana masyarakat akan melihat ia sebagai kelakuan normal dan budaya yang betul.

"Ini kerana kenyataan keluar dari mulut pemimpin politik berpengaruh dan berkedudukan tinggi. Jika berterusan, rasuah akan berleluasa atas nama dan tafsiran yang baharu pula.

"Akhirnya semakin sukarlah untuk kita banteras rasuah kerana orang politik semakin kreatif menormalisasikannya mengikut budi bicara mereka," katanya.

Beliau mencadangkan pemimpin politik untuk khatam dan memahami dengan jelas Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya mereka tidak cenderung dalam perbuatan sedemikian.

Katanya lagi, ahli politik perlu sedar bahawa anggota masyarakat yang juga pengundi sudah semakin celik politik dan matang untuk menilai gelagat dan tingkah laku yang baik sebelum, semasa mahupun selepas pilihan raya.

"Jadi elaklah perbuatan seperti ini yang sebenarnya akan meningkatkan tahap defisit kepercayaan pengundi terhadap ahli politik di negara kita. Jika benar ikhlas mahu beri sedekah, boleh saja dibuat di luar musim pilihan raya demi mengelakkan fitnah dan tohmahan.

"Hentikan perbuatan menormalisasikan rasuah dan budaya matlamat menghalalkan cara seperti ini perlu dihentikan segera," katanya.

Berita Harian X