Isnin, 23 Januari 2023 | 12:55pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Kenyataan 'sedekah' Abdul Hadi tidak boleh diterima

[email protected],my

KUALA LUMPUR: Transparency International Malaysia (TI-M) menuntut siasatan segera dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kenyataan 'sedekah pada musim pilihan raya' yang dibuat Tan Sri Abdul Hadi Awang, kelmarin.

Presidennya, Dr Muhammad Mohan, berkata TI-M mempersoalkan kenyataan Presiden PAS itu kerana ia langsung tidak boleh diterima.

"Siapa segelintir individu ini? Mereka ini mewakili siapa? (kenyataan Abdul Hadi mengenai terpulang kepada orang awam yang ingin memberikan sumbangan)," katanya kepada BH, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad berkata, Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 (Akta 5) di bawah Seksyen 10 (a) jelas memperuntukkan bahawa perbuatan seperti itu sebelum, semasa atau selepas pilihan raya secara langsung atau tidak langsung boleh disifatkan bersalah atas kesalahan menyogok.

"Jadi kami TI-Malaysia menyeru pihak SPR dan SPRM menyiasat kes ini dengan segera," katanya.

Kelmarin, Abdul Hadi dilaporkan berkata pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah sedekah dan tidak menyalahi peraturan pilihan raya.

Abdul Hadi berkata, pemberian itu adalah hak orang awam yang ingin memberikan sumbangan malah berkata, undang-undang sudah menetapkan bahawa setiap calon dan wakil calon tidak boleh memberi wang ketika berkempen.

Berita Harian X